Mar 18, 2012

AIN NAJIHA ~ BAB 15



AIN,
sy Tgk Ritzlan. Jgn bgtau Pak Man yg sy langgar kereta awak & sy dtg umah awak. Beritahu juga dgn mak awak, ya. Plsssss...

Mesej itu diterima seawal pukul 6.30 pagi. Apa yang tidak kena dengan orang tua ni? gumam Ain usai bersolat telefon bimbit itu disambarnya. Sangkaannya ada mesej penting daripada Aizad atau Kak Liah.

Pak Man? Kenapa tiba-tiba timbul nama Pak Man pulak ni? Adakah Pak Man memberitahu lelaki itu yang dia mengajar Tengku Ellyna. Tetapi mesej ini tidak pula menyebut tentang Tengku Ellyna dan berkaitan.

Dia senyum sendiri. “Ini mesti ada apa-apa,” katanya sendiri dan segera menekan huruf-huruf di dada telefon bimbitnya.

Kalau sy bgtau jugak...

Dia tersenyum sendiri melihat ayat itu. Sengaja hendak menyakat lelaki itu. Hendak melihat bagaimanakah reaksi Tengku Ritzlan seterusnya. Lelaki ni betul-betul mabuk. Awal pagi menghantar mesej sebegitu, dengusnya lalu melipat kain telekungnya dan digulung bersama sejadah berwarna hijau.

Telefon bimbitnya kembali berbunyi menandakan ada mesej yang masuk.

Tolonglah jgn beritahu Pak Man...

Berkerut dahinya membaca mesej itu. Ini mesti ada sesuatu terjadi dan lelaki ini malu hendak menarik balik. Hmm... lelaki kaya dan sombong. Tentulah egonya setinggi langit. Kesudahannya merayu minta jangan diberitahu akan kesilapannya.

“Padan dengan muka!” cemuhnya geram.

Tengoklah...

Sengaja dia hendak menduga dan melihat reaksi Tengku Ritzlan seterusnya.

Tolonglah, sy merayu ni...

Ain tergelak sendiri melihat mesej yang baru sahaja diterimanya. Dibiarkan sahaja tanpa sebarang balasan.

“Aku nak tengok dia merayu sampai takat mana,” katanya sendiri lalu meletak telefon bimbitnya di atas katil dan melangkah menuju ke bilik mandi untuk bersiram pula. Semenjak tidak bekerja dia mandi agak lewat kerana air di sekitar tempat itu agak sejuk. Mungkin kedudukan rumah yang agak tinggi dan berada disekitar lereng-lereng bukti.

Tiba-tiba telinganya menangkap sesuatu. Telefon bimbitnya berbunyi, pantas dia menarik tuala untuk menutup bahunya yang terdedah setelah mengenakan batik sarung yang membalut tubuhnya.

“Hisy, apa dia nak?” soal Ain sebaik mencapai telefon bimbitnya. “Helo.”

“Toyota Camry hitam siapa semalam duduk depan rumah you tu?” soal Fendi di sebelah sana.

Tercengang Ain mendengar soalan Fendi di awal pagi. Matanya menjeling jam dinding yang tergantung di dinding biliknya.

“Soalan apa ni?” soal Ain sedikit bengang.

“Soalan cepu mas lah. Siapa punya kereta semalam?” tegang suara Fendi di sebelah sana.

“Siapa punya kereta semalam, you tak perlu tahu. Lagipun kita dah tak ada apa-apa. Faham tak?!” jerit Ain dan terus memutuskan talian telefon bimbitnya. Dia benar-benar tidak sabar dengan sikap Fendi yang langsung tidak mahu memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Dicampak telefon bimbitnya di atas katil dan melangkah menuju ke bilik mandi.

Belum sempat kakinya hendak memijak lantai bilik mandi, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Ain kembali melangkah mendapatkan telefon bimbitnya. Terasa api kemarahannya sudah menyerbu ke mukanya. Hangat dan rasa terbakar seluruh tubuhnya.

“You tak faham ke, kita dah tak ada apa-apa lagi!” tengking dengan rasa marah.

Sepi dan hanya bunyi nafas seseorang di sebelah sana. Terkedi-kedip mata Ain menanti suara daripada Fendi.

“Helo!” keras suaranya. Nak main-main pulak, dengusnya dengan rasa marah.

“Ain, ini saya, Tengku Ritzlan.” Suara garau lelaki itu bergema di telinga Ain.

Ternganga Ain mendengarnya. Berteguk-tegu liur masuk ke rengkungnya. Dia memandang skrin telefon bimbitnya. Ya Allah, Tengku Ritzlan, desisnya dengan rasa malu yang teramat sangat.

Sorry Tengku. Saya ingat mahkluk perosak mana tadi,” kata Ain cuba menutup rasa gugupnya. Mujurlah lelaki itu tidak ada di hadapannya. Kalau tidak di mana dia hendak meletak mukanya yang tidak mandi.

“Ooo... ada mahkluk perosak mengganggu you pagi-pagi macam ni?” soal Tengku Ritzlan.

Ain ketawa yang dibuat-buat untuk menghilangkan debaran di dadanya. Masih menunggu kata-kata Tengku Ritzlan di sebelah sana.

“Adakah saya tergolong di dalam mahkluk perosak yang awak sebutkan tadi?” soal Tengku Ritzlan setelah seketika menyepi.

Ain tidak segera menjawab. Cuba membayangkan wajah lelaki itu dengan soalan yang disoalnya sebentar tadi. Wah, semasa bermesej sebentar tadi bukan main lagi merayu-rayu, mendayu-dayu. Sekarang? Rasa tidak berpadanan. Terasa soalan bodoh daripada seorang yang cerdik. Ego, sombong, berlagak sebab kaya!

“Kalau Tengku rasa begitu, begitulah Tengku,” balas Ain dengan senyumannya. Padan dengan muka kau! Cemuhnya.

Tengku Ritzlan senyap di sebelah sana.

“Hmm... okey. Tapi saya minta awak jangan beritahu Pak Man pasal semalam,” tegas lelaki itu dalam nada mendatar.

“Saya tak boleh nak janji, kadang-kadang mulut ni terlepas juga,” jelas Ain sengaja hendak menduga lelaki itu.

“Ooo...” Tengku Ritzlan berdehem. “Kerosakan kereta awak semalam hampir mencecah seribu dua ratus. Saya nak bayar atau awak nak bayar?” soal Tengku Ritzlan.

Astaghfirullah al’azim... dia ugut aku! Kurang asam betullah mamat ni. Eii, jahatnya dia! Eii... Jahatnya dia, jahat, jahat! Pekiknya sendiri. Bengang sungguh dengan ugutan lelaki itu.

“Jadi saya bayar dan awak boleh simpan kisah semalam, ya. Okey selamat pagi,” ucap Tengku Ritzlan setelah tiada suara yang keluar dari mulut Ain.

Sekali lagi dia mencampak telefon bimbitnya di atas katil dan terus melangkah menuju ke bilik mandi untuk menyiram tubuhnya yang mula berasa hangat dengan kisah sebentar tadi.

TEGAK mata Ain menatap wajah tua Pak Man yang berada di hadapannya.

“Betul ke ni, Pak Man?” soal Ain tidak percaya sebaik mendengar cerita lelaki itu. Terasa bingung dengan situasi hari itu. “Entah-entah kepala Tengku tu terhantuk kat mana-mana kut, itu yang jadi bingung sekejap.”

Pak Man ketawa mendengar kata-kata Ain. Kalau ikutkan dia pun kurang percaya tiba-tiba sahaja majikannya itu membuat keputusan sebegitu. Entah apa yang merasuknya semalam. Tiba-tiba sahaja baik semacam pula pagi tadi.

“Betul,” ucap Pak Man bersungguh-sungguh. “Masakan Pak Man nak main-main pula,” jelas Pak Man sambil menghulurkan sampul surat putih kepada Ain.

Kaget Ain melihat sampul surat itu. “Apa ni Pak Man?” soalnya sudah dapat mengagak apakah isi di dalamnya.

“Ambillah,” suruh Pak Man terus menghulurkan sampul di kepada Ain. “Ain dah banyak tolong dia, walaupun dia tak tahu.”

Ain memandang emak yang sedang memandangnya. Serba salah untuknya menerima sampul itu. Hatinya masih bengkak dengan peristiwa pagi tadi. Kalau ikutkan mahu sahaja dia meninju muka Tengku Ritzlan.

“Saya...” terhenti ayat-ayat yang ingin dikeluarkan dari bibirnya.

Adakah ini sebagai hendak menutup mulutnya? Tiba-tiba dadanya hangat dan terus membakar segala yang ada di dalam tubuhnya. Jahat sungguh lelaki ni. Menggunakan duit untuk menutup rahsianya. Macamlah rahsianya itu boleh menggegarkan Malaysia.

Ain menghela nafasnya sedikit kuat. Baik aku ambil duit ni. Ain menyambut sampul surat daripada tangan Pak Man dengan ucapan terima kasih.

Dia harus melakukan sesuatu. Tak mengapa, desisnya sendiri. Mesej dan panggilan daripada Tengku Ritzlan sekali lagi bergema di telinganya. Sakit di hati dengan ugutan lelaki itu sukar untuk disingkir. Jahat sungguh lelaki tu! Matanya beralih kepada emak yang berdiri memandangnya.

Dia melangkah mendapatkan emak dan menarik tangan emak terus ke dapur meninggalkan Pak Man yang termangu sendiri. Tengku Ellyna dan Aiman pula asyik bermain game di ruang menonton TV.

“Mak cerita apa pada Tengku Ritzlan semalam?” soal Ain ingin tahu.

“Mak tak cerita apa-apa,” kata emak dengan sengihan tidak pasti sebaik menerima renungan tajam daripada Ain. Dia ada tersilap cakap ke dengan Tengku Ritzlan?

“Mak tak cerita apa-apa. Dia tanya bila kita duduk sini, sebelum ni di mana kita tinggal,” jelas emak.

“Betul ke ni?” soal Ain. Kalau tidak lelaki itu tidak akan menawar untuk menjadi pengajar Tengku Ellyna. Dia tidak suka berbudi dengan lelaki kaya itu. Situasi pagi tadi juga sudahbegitu menyakitkan hatinya.

“Betullah,” jawab emak lembut.

Ain senyap. Dia mengeluh sendiri. Antara mereka terlalu banyak rahsia yang amat payah untuk dirahsiakan. Dia sendiri keliru dengan siapa yang patut dirahsiakan. Rahsia Tengku Ritzlan, rahsia Pak Man dan rahsianya sendiri.

Ain menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.

“Terima ajelah, Ain. Sekurang-kurang dapat juga duit untuk bayar api, air, internet Ain tu, cukai pintu, cukai kereta,” kata emak separuh memujuk. “Lagipun Tengku tu pun baik. Tengok semalam, makan tak memilih, makan apa yang Ain masak,” puji emak dengan senyuman.

Mata Ain beralih ke wajah emak yang tersenyum tak sudah. “Emak jangan beritahu pada Pak Man pasal semalam, tau,” sekali lagi dia mengingatkan emak. Bimbang emak terlepas cakap. Begitu juga pada Aiman.

“Ya, jangan bimbang,” balas emak. “Dah, pergilah ajar si Ellyna tu. Lama dia tunggu. Mak nak hidang Kuetiau Goreng yang Ain masak tadi,” kata emak mula mengeluarkan mangkuk daripada kabinet.

Ain segera melangkah mendapatkan Tengku Ellyna di ruang menonton TV. Harap-harap selepas ini tiadalah rahsia yang terpaksa dirahsiakan lagi. Penat.

Mar 14, 2012

AIN NAJIHA ~ BAB 14


LAMA dia memandang puterinya dari sebalik pintu yang dibukanya sebentar tadi. Masuk kali ini sudah tiga kali dia menjenguk Tengku Ellyna yang sudah lama melayan mimpinya.

Entah mengapa hatinya terusik dengan kisah Ain dan keluarganya. Gadis itu kelihatan biasa-biasa sahaja namun jalan hidupnya penuh dengan air mata. Pernah ditinggalkan oleh seorang lelaki yang dipanggil ayah. Hidup susah ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia dapat melihat mata emak Ain berkaca ketika menceritakan liku-liku hidupnya yang begitu perit dalam membesarkan anak-anaknya. Namun kesusahan itu bukan alasan untuknya tidak memberi pelajaran kepada Aizad, Ain dan Aiman.

“Kenapa Ain berhenti kerja?” entah mengapa dia masih ingin tahu tentang perkara itu. Mungkinkah kerana ia melibatkan Fendi? Nampaknya dia sudah mula mahu mencungkil rahsia Ain dan Fendi secara tidak langsung. Nampak sangat dia seorang lelaki yang suka menjaga tepi kain orang.

“Susah makcik nak cakap Tengku,” keluh emak dengan nada suara yang agak perlahan.

Sesekali memandang ke dapur. Emak mengajak Tengku Ritzlan makan malam bersama mereka dan lelaki itu tidak menolak. Dan dia meminta Ain memasak untuk makan malam mereka. Terkumat kamit mulut Ain sebentar tadi. Entah apa yang diomelkan membuat Tengku Ritzlan tersenyum sendiri.

“Bila kerja dicampur dengan hal peribadi tentu tak elok jadinya, kan? Dah berkali-kali makcik beritahu Ain. Tapi makcik nak buat macam mana kalau mereka dah suka sama suka. Makcik tak dapat nak halang. Makcik sedar, makcik ni orang miskin, Tengku. Tentulah tak sesuai dengan orang kaya,” lirih suara emak menutur apa yang dirasa.

Terusik mendengar keluh wanita itu. Ya, cinta tak mengenal pangkat dan rupa. Dia juga pernah begitu. Gagal memiliki cinta yang diinginkan membuat dia beralih menerima apa sahaja di hadapannya. Dan ketika hatinya terluka, kehadiran Kathrine di sisi membuat dia menerima gadis itu. Perkenalan singkat mereka berakhir dengan ijab dan kabul selepas enam bulan berkenalan.

Diakui, yang dia masih tidak dapat melupakan gadis pertama yang berjaya menembusi hatinya. Hani. Hani adalah teman baik semenjak dia berada di bangku sekolah menengah lagi. Dan mereka sama-sama melanjutkan pelajaran ke universiti yang sama di luar negera. Namun siapa sangka, perasaan yang tidak pernah diluahkan kepada Hani membuat gadis itu memilihi teman baiknya sendiri. Razin. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Cuba memadam kisah yang sudah menjadi sejatah. Sukarnya untuk dia memadam kenangan lalu. Dia berdengus kasar.

Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik Tengku Ellyna dan melangkah menuju ke tangga. Matanya masih belum mampu untuk dibawa beradu. Apa yang ingin dilakukan disaat begini?

Kalaulah, kalaulah... cuba dilupa dan dijauhkan hasrat itu. Untuk sementara waktu dia mahu menumpukan kepada puterinya dahulu. Padanya tiada sesiapa yang layak untuk menduduki hatinya selepas Hani, biarpun dia pernah mengahwini Kathrine. Perasaannya terhadap Kathrine tidak sehangat perasaannya terhadap Hani.

“Ku,” sapa Pak Man sebaik melihat Tengku Ritzlan menuruni tangga. Dia baru sahaja hendak memeriksa alat penggera sama ada sudah dihidupkan ataupun tidak.

“Hmm... Pak Man. Tak tidur lagi?” soal Tengku Ritzlan terus melangkah menuju ke ruang rehat yang terletak bersebelahan ruang tamu. Di situlah tempat dia dan Tengku Ellyna bersantai sambil menonton TV ataupun membaca selain daripada ruang keluarga di tingkat atas.

“Belum lagi Ku. Nak tengok alarm ni,” jelasnya sambil melangkah ke pintu rumah.

Tengku Ritzlan mengangguk dan terus melangkah menuju ke ruang rehat. Suasana gelap menjadi terang sebaik suis lampu dinyalakan. Sebentar kemudian TV palsma bersaiz 40 inci yang tergantung di dinding mengeluar suara.

Tengku Ritzlan melabuhkan punggung di atas salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Matanya beralih kepada Pak Man melintasi ruang itu.

“Pak Man!” jeritnya.

“Ya, Ku,” sahut Pak Man bergegas mendapatkan Tengku Ritzlan.

“Duduklah, Pak Man. Saya ada perkara nak cakap sikit,” jelas Tengku Ritzlan sambil membetulkan duduknya memandang lelaki itu.

Pak Man akur.

“Begini Pak Man.” Tengku Ritzlan berdehem untuk beberapa kali. Nampaknya dia terpaksa menelan kata-katanya dahulu. Sekarang padan dengan muka!

“Ya, Ku.”

“Saya masih tak dapat nak cari guru untuk mengajar Ellyna.” Jarinya mengetuk lengan sofa membuang rasa gelisahnya.

Pak Man senyap. Dia tidak dapat mengagak apa yang ingin disampaikan oleh lelaki itu. Namun begitu dia tidak akan sesekali memberitahu Tengku Ritzlan yang Tengku Ellyna sudah pun belajar dengan Ain hampir sebulan.

“Boleh Pak Man, tanya balik pada budak si Ain tu?” soalnya. Cis, budaklah konon-kononnya! Dah kenal lebih dari itu. Dan kalaulah Pak Man tahu, mungkin lelaki itu gelakkannya separuh mati.

Harap-harap Ain tidak menceritakan kejadian yang berlaku siang tadi kepada lelaki itu kelak. Malu. Nampaknya dia terpaksa memberitahu Ain perkara itu tetapi dia malu hendak menghubungi gadis itu ataupun menghantar mesej. Aduhai...

“Betul ke tidak Ku ni?” soal Pak Man sedikit kaget mendengar permintaan Tengku Ritzlan.

“Saya tak main-main kalau melibatkan pelajaran Ellyna, Pak Man,” tegas Tengku Ritzlan sedikit tinggi.

Pak Man senyap dan menganggukkan kepalanya. Kalau dah begitu memang dia akan bertanya kepada Ain secara terus teranglah. Tidak perlulah untuknya main sembunyi-sembunyi dan berahsia lagi dengan Tengku Ritzlan.

“Ain tu tak kerja lagi ke?” soal Tengku Ritzlan ingin tahu.

Dia tidak sempat hendak bertanya tadi disebabkan emak Ain hendak bersolat. Sementara wanita itu bersolat, dia menjamu selera dengan ditemani oleh Ain dan Aiman. Aiman pula tidak banyak bersuara dan Ain pula lebih senang menjadi orang bisu. Jadinya dia makan dalam suasana yang cukup sunyi dan sepi tanpa suara manusia.

“Dia meniaga Nasi Ayam tu ajelah,” kata Pak Man. “Tapi, hari tu gerai dia terbakar.”

“Apa?!” terkejut Tengku Ritzlan mendengar cerita pendek Pak Man. Cuba diimbau kembali cerita-cerita yang dicerita oleh emak Ain tadi. Tetapi wanita itu tidak bercerita tentang kisah itu. “Kenapa?”

Kaget Pak Man melihat lelaki itu agak cemas. “Kenapa cemas semacam aje ni, Ku?” soal Pak Man.

Tengku Ritzlan tersedar. Meraup wajahnya. Malunya! “Tak, cemas dengar cerita Pak Man tadi. Tak ada orang yang cedera?” soal Tengku Ritzlan. Kalau Ain cedera pasti dia tidak bertemu gadis itu hari ini.

Entah apalah petanda dia bertemu dengan gadis itu. Entah apa-apa. Rasa macam kartun pun ada. Kalut semacam. Sombong jangan cakap. Asyik menjeling. Tetapi lirikan mata Ain tu buat dia...

“Kenapa Ku?’ soal Pak Man. Pelik melihat Tengku Ritzlan mengetuk kepalanya. Apa yang tidak kena dengan lelaki ni? Soalnya sendiri.

Tengku Ritzlan memandang Pak Man. Sekali lagi dia membetulkan duduknya sebagai membuang rasa malu dan tidak keruannya.

“Tak ada apa. Kepala ni rasa pening pulak.”

Menipu lagi! Keluhnya.

“Ku kena banyak berehat,” nasihat Pak Man lembut.

Tengku Ritzlan senyum mendengarnya. Aduhai... keluhnya lagi.

“Habis sekarang si Ain tu buat apa?” soalnya ingin tahu dengan lebih lanjut tentang gadis itu.

“Masih meniaga lagi. Tapi kalau dulu adalah gerai dia, sekarang ni cuma buat untuk tempahan saja,” jelas Pak Man.

Tengku Ritzlan mengangguk-anggukkan kepalanya. Ain dari mana semasa dia terlanggar kereta gadis itu siang tadi? Kalau tidak silap, pejabat Akhbar Engineering berdekatan dengan kawasan itu. Mungkinkah dia ke pejabat bapa saudaranya itu?

Kenapa banyak sangat yang difikirkan tentang Ain? Dia berdengus kasar sambil memicit-micit kepalanya.

“Kenapa Ku? Sakit kepala ke? Nak saya ambil kan ubat ke?” soal Pak Man bimbang melihat majikanya yang kelihatan tidak menentu.

“Tak, tak perlu Pak Man,” tegah Tengku Ritzlan. Perlahan-lahan dia bangun dari duduknya. “Saya naik dulu, Pak Man.”

Dia meminta diri untuk naik semula ke biliknya. Sarat sungguh kepalanya dengan kisah Ain. Dari pagi, petang dan sehingga ke tidur. Jangan dia mimpikan gadis itu sudahlah. Sekali lagi dia menghela nafasnya yang semakin tidak menentu.

Mar 12, 2012

AIN NAJIHA ~ BAB 13


TAK tahu nak cakap apa apabila tuan bengkel itu memberitahu yang ia akan mengambil masa dua hingga ke tiga hari untuk membaiki kerosakan yang dirasakan tidak seberapa. Ain memandang Tengku Ritzlan yang memandangnya kemudian memandang kepada suasana di situ.

Sebuah bengkel yang yang terletak di kawasan elit. Melihat kepada kereta yang lalu lalang tidak kelihatan pun seperti keretanya. Mengapalah mamat ni bawak aku ke sini? Entah berapa ribu nanti dicaj oleh si botak tu, rengus Ain memandang kepada tuan bengkel yang berkepala botak dengan senyuman miangnya.

“You pakai kereta ke?” soal Tengku Ritzlan ingin tahu.

Ain menggeleng. Selain daripada kereta yang kau langgar ni, kereta sorong di belakang rumah tu adalah, gumamnya dengan rasa teramat bengang. Macamlah dia terlalu kaya sehingga tidak terbilang kereta yang ada, dengusnya sendiri. Eii... apalah malangnya bertemu dengan lelaki ni.

Ini yang dikatakan lari mulut buaya masuk mulut naga. Nampaknya terpaksalah Aiman menghantar nasi-nasi ayam itu dengan menaiki motornya. Dan mujur juga dia punya skuter tidaklah patah kakinya kalau hendak ke mana-mana kelak.

“Zek, nanti bil aku semua ni,” pesannya kepada Zek, tuan punya bengkel sebelum mereka meninggalkan kereta Ain di tangan lelaki berkepala botak itu. “I hantar you.” Tengku Ritzlan menawar dirinya.

Tegak mata Ain memandang Tengku Ritzlan.

“Err... apa?” soalnya. Bukan dia tidak mendengar pelawaan itu tetapi ingin kepastian. Fikirannya sudah melayang kepada Tengku Ellyna yang sedang menunggunya di rumah untuk belajar Bahasa Melayu.

“I hantar you. Naiklah,” pelawa Tengku Ritzlan dengan senyuman sambil mengenakan kaca mata hitamnya semula.

“Err... tak payahlah Tengku. Saya boleh naik teksi,” jelas Ain lalu melangkah laju menuju ke... langkahnya terhenti mencari hentian teksi. Masakan tempat elit seperti ini tak ada hentian teksi. Alahai, mengapalah ada tempat sebegini di Kuala Lumpur, sungutnya sendiri

Pon!

“Opocot!” hampir sahaja dia melompat terkejut dengan hon yang dibunyikan oleh Tengku Ritzlan. Ain menoleh kepada kereta mewah Tengku Ritzlan yang berada di belakangnya kini. Hisy! dia melangkah ke tepi memberi laluan kepada kenderaan itu.

Tengku Ritzlan ketawa.

“Ain!” panggilnya dengan tawa yang masih bersisa. Kini dia sudah pun menurunkan cermin bersebelahan tempat duduk pemandu. “Marilah I hantar. Sini susah sikit nak dapat teksi, tau.” Sekali lagi lelaki itu menawarkan dirinya untuk menghantar Ain. Entah mengapa dia merasa bersalah dengan apa yang berlaku.

Ain memandang Tengku Ritzlan yang memandangnya disebalik kaca mata hitam. Dia memandang sekitar kalau-kalau ada teksi yang melintasi ketika itu. Tetapi hampa. Yang kelihatan hanya kereta-kereta mewah yang sesekali melalui jalan itu.

“Tak menyushakan Tengku ke?” soal Ain masih berasa serba salah dengan pelawaan itu. Tangannya erat memegang telefon bimbitnya.

“Tak, bukan I hantar you jalan kaki.” Lelaki itu ketawa lagi dihujung kata-katanya.

Ain menjeling. Bengang pula dia dengan lawak bodoh lelaki itu. Akhirnya dia menarik pintu kereta mewah itu sekali lagi. Memang sedap dan empuk duduk di dalamnya. Tenggelam. Kalau tidur pun pasti lena. Kalau dia punya kereta sebegitu, mungkin tak akan duduk di rumah. Biarlah dia berumahtangga di dalam kereta sebegitu.

“You hantar I dekat hentian teksi yang berhampiran aje,” pinta Ain.

“Tak apalah I hantar sampai ke rumah you,”

Eh! Jangan!” hampir sahaja Ain terpekik.

Sepontan Tengku Ritzlan membrek dan keduanya sama-sama terdorong ke hadapan. Mujurlah tiada kereta di belakang.

“You ni kenapa?!” soal Tengku Ritzlan bengang. Terkejut dia dengan pekikan Ain sebentar tadi.

“Tak payah hantar sampai rumah. Hentian dekat ni aje.”

“Tak apalah. Sini susah nak dapat teksi. Lagipun dah waktu puncak. Mesti sesak,” desak Tengku Ritzlan. Orang nak hantar pun, banyak songeh, gumamnya sendiri.

Ain menjeling. Macam mana ni? Anak dia ada kat rumah aku? Soalnya sendiri. Nak telefon kang, mamat ni dengar pulak. Hisy! dia semakin gelisah dan cemas.

“Di mana you tinggal?” soal Tengku Ritzlan memandang Ain sekilas.

“Err... dekat Kampung Lembah Jaya,” jawab Ain.

“Eh, tak jauh dari rumah I.”

Memang pun, desis Ain sendiri. Macam mana ni? Soalnya sendiri. Ah... bagi ajelah mesej kepada Pak Man, bisiknya sendiri. Tangan ligat mencari nombor telefon lelaki itu. Terkejut dia apabila telefonnya berbunyi dan ia panggilan daripada Pak Man.

Pulak dah... matanya menjeling kepada Tengku Ritzlan yang sesekali memandangnya.

“Kenapa pandangan I? Jawablah handphone you tu. Memekak tau,” kata Tengku Ritzlan berupa rungutan.

“Tak apa ke?” soal Ain cemas.

“Laa... tak salah pun. Jangan risau I tak beritahu polis.” Tengku Ritzlan ketawa dihujung katanya. Entah apa-apa si budak Ain ni, cemuhnya sendiri.

Ain menjeling. Bingung sungguh lelaki ni, kutuknya sendiri.

“Helo.” Dia menutup sedikit mulutnya agar Tengku Ritzlan tidak mendengar perbualannya dengan Pak Man.

Tengku Ritzlan menjeling dengan senyuman. Lawak sungguh perempuan ni, desisnya menyimpan tawanya.

“Ain, kat mana ni?” soal Pak Man di sebelah sana.

“Dalam kereta,” jawab Ain perlahan lalu membetulkan duduknya agar membelakangi Tengku Ritzlan.

“Lama lagi ke? Kalau lambat lagi Pak Man balik.”

“Eloklah tu. Esok aje ya. Balik cepat-cepat sikit. Okey, assalammualaikum,” ucapnya tidak sabar menyudahi perbualan itu. Ketat dadanya dengan situasi genting itu. Dia melepaskan nafasnya dan berharap Pak Man cepat-cepat beredar dari rumahnya sebelum dia dan Tengku Ritzlan sampai.

“Begitu bercakap dengan boyfriend,” tegur Tengku Ritzlan yang dapat mencuri dengar perbualan Ain dan entah sesiapa di sebelah sana. Mungkinkah Fendi? Desisnya sendiri.

Ain berpaling. Berkerut dahinya. Sibuk! gumamnya sendiri. Lebih baik dia senyap daripada berlawan kata dengan lelaki kaya dan sombong ni, dengusnya.

Dia membetulkan duduknya. Harap-harap cepatlah Pak Man dan Tengku Ellyna pulang agar tidak bertembung dengan lelaki, doanya.


DIA menarik nafas lega apabila melihat tiada Estima putih yang sering dipandu oleh Pak Man untuk membawa Tengku Ellyna. Bibirnya mengulum senyuman. Motosikal Aiman pun tiada di mana-mana. Nampaknya adiknya itu sudah pun keluar.

“Terima kasih hantar saya,” ucap Ain.

“Sama-sama,” jawab Tengku Ritzlan dengan sengihan. Entah mengapa dia rasa hendak ketawa melihat wajah kalut Ain sebentar tadi. Entah apa-apa dengan perempuan ni, sungutnya sendiri. Entah apa-apa pun wajah itu yang sering dicuri pandang semasa memandu tadi. Atau ada yang tidak kena dengan dirinya?

“Tak nak masuk dulu.” Ini ajak-ajak ayam aje, kata hati Ain. Cuma untuk berbasa basi sahaja kepada orang yang sudah menolongnya.

“Boleh juga.” Inilah peluangnya untuk mengenali Ain. Tali pinggang yang mengikat badannya tadi ditanggalkan.

Tercengang Ain memandang Tengku Ritzlan yang memandangnya. Tak sangka yang lelaki itu menerima pelawaannya yang berupa ajak-ajak ayam sahaja.

“Kenapa?” soal Tengku Ritzlan.

“Err... tak ada apa-apa,” jawab Ain lalu membuka pintu kereta mewah lelaki itu sebaik Tengku Ritzlan memboloskan dirinya keluar dari kereta mewahnya.

“Dah lama you tinggal di sini?” soal Tengku Ritzlan yang sudah berdiri di sebelah Ain yang sudah membuka ibu kunci pintu pagar.

“Lama juga,” jawab Ain seadanya. Dia tidak suka bercerita kisah silamnya kepada orang yang tidak dikenali. Dan untuk apa lelaki kaya dan sombong itu mengetahui kisah hidupnya.

Tengku Ritzlan mengangguk-anggukkan kepalanya sambil terus memandang persekitaran rumah itu yang dipenuhi pelbagai pokok bunga. Dan ada sebatang pokok rambutan dan dibawahnya ada buaian bergantungan. Bibirnya mengulum senyuman.

Beberapa orang budak sekolah yang berseragam sekolah menengah menyapa Ain semasa melintasi hadapan rumah gadis itu. Ain hanya membalas dengan senyuman dan lambaian kepada mereka. Entah mengapa dia berasa begitu selesa, tenang dan aman di situ. Begitu hormani persekitarannya.

“Masuklah Tengku. Rumah buruk aje,” pelawa Ain acuh tak acuh.

“Syukurlah orang ada rumah. Yang tak ada rumah duduk bawa jambatan tu...” jeling Tengku Ritzlan mendahului Ain masuk ke dalam rumah sebaik pintu besi rumah pula ditolak.

Eh, banyak pula songeh dia. Aku suruh keluar kang! Dengus Ain dengan rasa sebal. Makin lama mengenali lelaki ini semakin menyakitkan hatinya.

“Duduklah,” pelawanya dan terus melangkah menuju ke dapur. “Mak...” rengeknya sebaik melihat emak sedang mengemas cawan-cawan yang baru dibasuh.

Emak menoleh memandang Ain. “Baru sampai?” soal emak sedikit terkejut.

Ain meletak jari telunjuk ke bibir kemudian menuding jarinya ke ruang tamu. Berkerut dahi emak dengan reaksi Ain.

“Kenapa ni?” soal emak dengan suara yang perlahan selaku berbisik.

“Tengku Ritzlan ada di depan tu,” bisik Ain.

Berkerut dahi emak. “Siapa tu?”

“Ayah, Tengku Ellyna,” jelas Ain. “Emak pergi layan dia. Biar Ain buat air, tapi emak jangan cerita pasal Tengku Ellyna atau Pak Man tau. Dia tak tahu, kalau dia tahu mati Ain nanti,” pesan Ain.

“Ya, ya, ya... cepat sikit buat air tu. Kuih karipap tu pun ada. Kak Liah bagi tadi,” kata emak sebelum meninggalkan air di dapur.

Ain menghela nafasnya. Nak bersungut tak baik. Tetamu datang membawa rezeki. Tetapi tetamu ni memandang tak diundang langsung. Hai... sabar ajelah. Redalah, Ain...

Mar 8, 2012

AIN NAJIHA ~ BAB 12




SAKIT hatinya kerana terpaksa berdepan dengan Fendi. Dia tidak faham mengapa pihak Sumber Manusia memberi cek gaji terakhirnya kepada Fendi. Hangat hatinya sebaik du yang cek itu bersama dengan Fendi. Bukan Sumber Manusia tidak boleh memasukkan gajinya ke dalam akuan banknya dan mengapa harus diberikan di dalam bentuk cek?

Ketika itu mahu sahaja dia pulang dan membiarkan sahaja gaji

yang hampir mencecah empat ribu lima ratus itu di tangan Fendi. Tetapi memikirkan yang dia memerlukan duit tersebut untuk membeli peralatan gerainya terpaksa ditebalkan mukanya.

Sebaik dia sampai di hadapan setiausaha Fendi, gadis itu terus menyuruhnya masuk dan diberitahu yang Fendi sedang menunggu kedatangannya. Dia menghela nafas berat. Terasa ketat dadanya dengan situasi itu.

Fendi memang gila! Kutuknya sendiri.

Pintu diketuk, seketika dia mendengar suara Fendi menyuruhnya masuk. Perlahan-lahan tombol pintu dipusing dan membuka pintu kayu.

“Masuk Ain,” suruh Fendi yang sedang berada di talian sambil memekup corong gagang telefon.

Ain senyap namun akur dengan suruhan lelaki itu. Wajahnya kelat menggambarkan perasaannya yang tidak senang berada di situ. Bimbang akan bertemu dengan Nelly pula. Dia mendapat tahu daripada teman baiknya, Emma yang mengatakan Nelly tunang Fendi bekerja di situ di Jabatan Pemasaran.

“Kenapa berdiri di situ? Duduklah,” pelawa Fendi.

“I nak cepat nak balik. Tolong bagi cek I. Lin kata cek I ada pada you. Kenapa you pulak yang simpan?” soal Ain bengang. Dan dia tidak faham mengapa gajinya ditahan. Nak kata dia berhutang dengan syarikat itu, tiada. Keretanya pun sudah habis dibayar sebaik mendapat bonus untuk tahun lepas.

Fendi senyum lalu bangun dan bersandar dipenjuru meja kerjanya sambil memegang sampul surat putih.

“Saja, I minta Osman tahan gaji you,” ucap Fendi dengan senyuman nakalnya. Ingin melihat bagaimana reaksi Ain seterusnya

“I tak sangka you ni memang seorang yang tak berhati perut,” cemuh Ain. Entah mengapa tiba-tiba dia merasa begitu benci dengan sikap Fendi yang menyakitkan hatinya.

Fendi ketawa lalu menghampiri Ain yang masih berdiri di tengah bilik pejabatnya.

“Kalau I tak buat macam ni kita tak akan jumpa kan.” Itulah yang diinginkan. Rindu sungguh dia terhadap Ain. Tempoh hari semasa dia ke rumah gadis itu, Ain dan keluarganya tiada di rumah. Tidak tahu ke mana.

Tiba-tiba pintu ditolak dengan kasar dari luar. Tersembul wajah Nelly yang kelat. Dadanya berombak melihat berada Ain di situ.

“Eh, kau buat apa di sini?!” soal Nelly kasar lalu menghampiri Ain.

Kaget Ain dengan situasi itu. Apa kena dengan kedua pasangan ini? Gila agaknya? Desisnya sendiri. Tiada lagi kata-kata indah untuk menterjemahkan sikap keduanya yang lebih kurang sama.

Cepat-cepat Fendi menghampiri Ain. Bimbang Nelly cuba mengapa-apakan Ain. Bukan dia tidak tahu dengan perangai Nelly yang sanggup lakukan apa sahaja untuk cita-citanya. Beginikah perempuan yang ingin dijadikan isteri?

“You buat apa di sini? Masuk, bilik I tak reti-reti nak ketuk pintu!” herdik Fendi geram dengan sikap Nelly yang kurang sopan dan kurang ajar.

Ain senyap. Matanya beralih kepada sampul surat di tangan Fendi. Kesempatan itu diambil untuk meragut sampul surat itu dan melangkah keluar meninggalkan keduanya.

Terkejut Fendi melihat Ain melangkah laju dan sejurus kemudian baru dia sedar yang sampul surat yang mengandungi cek Ain sudah berada di tangan Ain.

Kurang asam punya Ain, kutuknya sendiri. Cepat-cepat dia mengejar Ain yang sudah pun keluar dari bilik pejabatnya. Cadangnya hendak mengajak Ain menemaninya makan tengah hari biarpun waktu itu sudah pun lewat.

“Ain!” panggilnya dan terus mengejar Ain yang sudah agak jauh.


“Fendi!” panggil Nelly pula dan mula mengejar lelaki itu.

Ain terus melangkah laju keluar dari pejabat dan menuju ke lobi. Mujurlah lif menuju ke tingkat bawah terbuka selepas beberapa orang kakitangan Akhbar Engineering keluar. Segera dia memboloskan dirinya masuk ke dalam dan cepat-cepat menekan butang menutup pintu. Dia tidak mahu dirinya terus dikejar oleh Fendi.

“Ain!” jerit Fendi kepada pintu lif yang sudah pun bertutup semasa dia membuka pintu yang memisahkan pejabat dan lobi. Dia meraup rambutnya dengan kasar.

Beberapa orang pekerja memandangnya dan berbisik sesama sendiri.

“Fendi!” jerit Nelly sebaik membuka pintu kaca pejabat.

Fendi menoleh memandang Nelly. “You nak apa, haa?!” tengking Fendi geram dengan Nelly yang tidak jemu-jemu mengejar dan mengintip setiap pergerakannya.

“You jangan nak main dengan perempuan tu, ya. Kita dah bertunang, tau tak!”

Lama Fendi merenung ke wajah Nelly. Rahangnya bergerak-gerak menahan rasa marahnya.

“Bertunang? Siapa yang nak bertunang?” soal Fendi dengan rasa geram memandang tepat ke wajah Nelly. “You dengan emak I buat keputusan tanpa berbincang dengan I dan tanpa persetujuan daripada I,” tingkah Fendi yang sudah menghampiri Nelly dengan telunjuk yang hampir mengenai hidung gadis itu.

“Kalau berbincang pun, you setuju ke?!” tingkah Nelly geram.

Fendi senyap. Nafasnya turun naik menahan rasa marah yang sukar diungkapkan.

“Tak kan?” selar Nelly dengan senyuman sinisnya. “Jadi I terpaksa buat macam ni.” Perlahan suaranya diiringi tawa kecil.

Fendi berdengus kasar lalu melangkah masuk semula ke dalam ruang pejabat. Nelly tersenyum menandakan kemenangannya untuk kali itu. Dan dia cuba mencari idea untuk Fendi melupakan Ain. Perlahan-lahan kakinya mula melangkah masuk ke dalam mengikuti jejak Fendi sebentar tadi.


“MENYUSHAKAN!” getusnya sendiri sebaik masuk ke dalam keretanya selepas memasukkan cek ke dalam mesin yang dikhaskan di mesin ATM bersebelahan bangunan yang menempatkan Akhbar Engineering. Kalau tidak disebabkan duit itu untuk kegunaannya membeli peralatan gerainya memang dia tidak ingin datang ke pejabat itu.

Dia meletak beg tangannya bersebelahan tempat duduk yang didudukinya. Mengingatkan kejadian sebentar tadi ia benar-benar mencemaskan hatinya. Gila! Memang dua-dua gila, desisnya sendiri lalu menghidupkan enjin keretanya.

Matanya menjeling jam yang tertera didashboard. Hampir ke pukul 3.00 petang. Pasti Tengku Ellyna dan Pak Man sudah berada di rumah. Nafas dihelakan. Segera dia memberi isyarat untuk masuk ke sebelah kiri sebaik mengenakan kaca mata hitamnya. Selepas dilihat tiada kereta di belakang melalui cermin pandang belakang dia masuk menuju ke jalan utama.

Perlahan-lahan dia membrek sebaik lampu bertukar dari kuning ke merah. Harap-harap dapat sampai sebelum pukul 3.30. Melihatkan jalan di hadapan yang mulai sesak walaupun waktu makan tengah hari sudah lama berlalu.

Prang!

Dentuman kuat di bahagian belakang keretanya membuat dia benar-benar terkejut dan cemas. Keretanya terdorong sedikit ke hadapan melepasi garisan di persimpangan. Dia menjeling cermin pandang belakang. Ya Allah, apa yang tidak kena dengan hari ni? Gentusnya dengan rasa sebal. Lepas satu, satu terjadi.

Pantas dia membuka pintu dan menutupnya dengan kasar. Dia sudah bercekak pinggang melihatkan pemandu kereta mewah itu keluar dari tempat pemandu.

Duit lagi, keluhnya. Tempoh hari pun lampunya pecah akibat dilanggar oleh kenderaan yang tidak diketahui. Semuanya gara-gara Aiman yang memakirkan keretanya tidak betul di bahu jalan di hadapan Taska Ceria. Kini...

Dia memandang bumper keretanya yang kemek. Lampu kereta tempat yang sama pecah lagi. Kurang-kurang pun pasti lima, enam ratus harus dilaburkan untuk membaikinya.

“Maaf, saya tak perasan tadi,” pinta lelaki itu kepada Ain sambil memandang bumper kereta Ain yang sudah kemek.

Ain mendongak memandang lelaki yang berkaca mata hitam itu. Serasanya dia pernah bertemu dengan lelaki itu. Astaghfirullah al’azim... dia?

Tengku Ritzlan memandang Ain. Lama.

“Macam mana Tengku boleh tak nampak sedangkan kereta saya lebih besar daripada mata Tengku!” selar Ain dengan rasa bengkak di hati. Entah mengapa tiba-tiba hatinya membuak marah sebaik mengetahui lelaki itu bapa kepada Tengku Ellyna.

Lelaki kaya yang sombong!

Tengku Ritzlan menanggal kaca matanya. Semakin kecil matanya yang sepet mendengar cemuhan Ain.

“Saya tak sengaja, tahu.” Keras jawapan Tengku Ritzlan. Bengang mendengar kutukan Ain sebentar tadi.

“Bukan tak sengaja tetapi cuai! Berangan agaknya. Tak nampak ke kereta saya berhenti. Lampu tu kan merah, tadi,” balas Ain memandang kepada kereta mewah Tengku Ritzlan yang bercermin gelap.

Sedapnya dia kata aku macam tu, getusnya sendiri.

“Ooo... saya lupa, cermin gelap. Itu sebab tak nampak kan?” perli Ain dengan rasa geram.

Hatinya semakin hangat dengan apa yang berlaku hari ini. Mengapa hari ini hari yang malang untuknya. Bertemu dengan orang yang tidak ingin ditemui.

Tengku Ritzlan berpaling kepada keretanya yang memang bercermin gelap. Berkerut dahinya memandang Ain “Kan saya dah minta maaf.” Sekali lagi Tengku Ritzlan mengulangi kata-katanya tadi.

“Dengan minta maaf aje? Habis kereta saya ni boleh dengar perkataan maaf Tengku tu ke? Dan semuanya kembali kepada asal?”

Mata Tengku Ritzlan kembali memandang kereta Ain yang kemek. Kemudian memandang kepada keretanya yang sedikit bercalar. Kepala yang tidak gatal digaru-garu beberapa kali. Diakui salahnya juga. Dia sedang berbual di talian tadi dan entah macam mana telefon bimbitnya tercampak ke bawah walaupun dia memakai hands free. Dan inilah akibatnya.

Matanya beralih kepada Ain yang memandangnya tanpa menanggal kaca matanya. Comel pula perempuan ni, pujinya sendiri. Dia berdeham cuba membuang rasa terpedaya dengan wajah itu.

Sombong! Cemuhnya pula. Kaca matanya disangkut di baju kemeja yang sudah tidak bertali leher lagi. Kemudian memandang jam dipergelangan tangan.

Astaghfirullah al’azim... kenapa dengan lelaki ni. Ini kes tak mahu bayarlah, ya. “Saya nak buat repot polis.” Bosan menunggu dia melangkah ke pintu kereta bahagian pemandu.

“Hei!” Tengku Ritzlan berlari mendapatkan Ain lalu memegang pintu kereta gadis itu yang sedang menarik untuk menutup pintu keretanya.

Ain memandang Tengku Ritzlan yang memandangnya.

“Ikut saya ke bengkel kereta tempat saya selalu hantar kereta untuk dibaiki. Saya akan bayar semua, sebab ia berpunca daripada saya,” akui Tengku Ritzlan dengan rasa berat. Itulah pertama kali dia mengakui kecuaian, kesilapan dan kesalahannya. Mengapa dia boleh kalah dengan gadis itu? Adakah kerana perkataan polis itu membuat dia kecut? Dan terus mengakui apa yang berlaku?

“Nombor telefon Tengku?” pinta Ain pantas mengeluarkan telefon bimbitnya.

Kaget Tengku Ritzlan dengan permintaan gadis itu namun disebut juga nombor telefon bimbitnya. Seketika dia menerima panggilan daripada nombor telefon Ain.

“Itu nombor saya,” jelas Ain. Kemudian dia mengambil gambar lelaki itu.

Terkejut Tengku Ritzlan dengan rekasi Ain. Begitu pun dia tidak bersuara. Dan sekali lagi Ain mengambil gambar nombor pendaftaran keretanya.

“Untuk keselamatan saya. Takut saya dianiaya,” jelas Ain tanpa sempat Tengku Ritzlan bertanya.

Terngangan lelaki itu sebaik Ain masuk ke dalam keretanya semula. Sebentar kemudian gadis itu menjengah wajahnya keluar tingkap.

“Saya tak tahu bengkelnya di mana?” kata Ain dengan nada suara yang sedikit keras.

“Ooo... haa, ya, ya.” Tergesa-gesa Tengku Ritzlan masuk ke keretanya dan sebentar kemudian mereka pun meninggalkan tempat itu menuju ke satu arah.

Mar 5, 2012

AIN NAJIHA ~ BAB 11


KALAU tidak disebabkan panggilan telefon dari Tengku Manisah sebentar tadi memang dia akan berpura-pura lupa untuk mengikut kedua orang tuanya ke rumah Dato Johan dan Datin Fariza. Tengku Manisah menelefonnya malam tadi dan memaksanya agar datang ke rumah untuk pergi menghantar rombong Fendi ke rumah Nelly yang terletak di Subang Jaya.

Hujung minggu begitu dia lebih senang berada di rumah dan melayani puterinya. Cadangnya hendak membawa Tengku Ellyna ke Colmar ataupun Genting Highland untuk menghabiskan masa mereka hari itu. Mujurlah dia tidak memberitahu perkara itu kepada Tengku Ellyna kalau tidak pasti merengeklah puterinya.

“Siapa lagi yang pergi?” soal Tengku Manisah di dalam Bahasa Inggeris kepada Tengku Ritzman di sebelah Tengku Ritzlan yang memandu.

“Lokman dan Hanis,” jelas Tengku Ritzman sedikit mengeluh.

“Uncle Lokman dah balik?” sampuk Tengku Ritzlan memandang ayahnya sekilas. Bibirnya mengulum senyuman.

“Dah, dua hari lepas tak silap,” jelas Tengku Ritzman. “Esok-esok kita ke rumah Hanis. Dah berapa kali dia pesan suruh datang, ada oleh-oleh dari Mekah katanya,” kata Tengku Ritzlan mengingatkan pesanan adiknya Tengku Yuhanis yang baru pulang daripada menunaikan umrah.

Tengku Manisah senyap. Hatinya masih lawang kalau-kalau Tengku Yuhanis tiada di rumah Dato Johan. Siapa yang ingin dilawan bersembang. Terasa menyesal dia mengikuti suaminya.

“Kalau Hanis tak ada, saya balik,” kata Tengku Manisah tiba-tiba.

Tengku Ritzman menggeleng-gelengkan kepalanya. Sangkaannya topik itu sudah hilang. Bibirnya mengulum senyuman mengenangkan perangai si isteri seperti anak-anak. Tengku Ritzlan senyap dan hanya menjeling di cermin pandang belakang imej ibunya yang sudah memuncung tidak menentu.

“Siapa nak hantar?” soal Tengku Ritzman.

“Ritzlah, siapa lagi?” balas Tengku Manisah bengang. Sakit hatinya apabila Tengku Ritzman mendesak dan mengajaknya ke rumah Dato Johan untuk menghantar rombongan pertunangan antara Fendi dan Nelly.

“Subang Jaya dengan Ampang, jauh...” ujar Tengku Ritzman.

Tengku Manisah mendengus kasar sambil melontar pandang ke luar. Harap-harap Tengku Yuhanis dan Dato Lokman adalah, doanya sendiri.

“Kenapa balik tak beritahu?” soal Tengku Ritzlan. Bersinar-sinar matanya sebaik melihat Dato Lokman sudah berada di rumah Dato Johan. Dia terus memeluk bapa saudara kesayangannya itu.

“Tak mahu susahkan Ritz,” jelas Dato Lokman. Faham sangat dengan sikap Tengku Ritzlan yang begitu mengambil berat akan dirinya. “Ritz macam mana? Ellyna mana?” soal Dato Lokman matanya melingas mencari puteri Tengku Ritzlan yang agak lincah dan ligat. Tangannya diangkat membalas sapaan Tengku Ritzman yang sedang disambut oleh Dato Johan dan Datin Fariza.

“Sihat uncle. Ellyna di rumah. Majlis macam ni tak sesuai dengan dia. Dia tu bukan mahu diam,” jelas Tengku Ritzlan disusuli tawa kecilnya.

Dato Lokman ketawa apabila mengingatkan keletah puteri Tengku Ritzlan. “Biasalah, Ritz. Budak-budaklah kata kan,” katanya. Tiba-tiba hati sebak dan sayu mengenangkan dirinya. Di mana mereka semua? Soalnya sendiri. Dia mengeluh sambil mengesat mata yang hampir menurunkan air mata.

“Uncle okey ke?” soal Tengku Ritzlan sambil memegang lengan lelaki itu sebaik melihat lelaki itu tidak menentu.

Erat tangan Dato Lokman memegang tangan Tengku Ritzlan dengan senyuman melindungi kesedihan di hatinya.

“Ya, ya... uncle okey. Jangan bimbang uncle tak apa-apa.” Bibirnya melakarkan senyuman untuk membuang rasa bimbang anak saudaranya itu. “Jom kita masuk,” ajaknya.

Tengku Ritzlan mengangguk dan memimpin lelaki itu melangkah masuk ke banglo mewah Dato Johan. Matanya liar mencari Fendi. Teringin melihat lelaki itu sebelum bergelar tunangan orang. Tetapi yang ada hanyalah para tetamu yang terdiri daripada saudara mara sebelah Datin Fariza yang memang tidak dikenali. Mana saudara mara sebelah Dato Johan? Atau mereka sengaja tidak dijemput?

Tengku Manisah duduk bersama Tengku Yuhanis, isteri Dato Lokman. Datin Fariza pula sibuk melayan saudara maranya yang lain. Patutlah Tengku Manisah begitu keberatan hendak menghadiri majlis itu dan mujur juga ada Tengku Yuhanis untuk dibuat kawan.

Dia mengambil tempat di sisi Dato Lokman dan berhadapan dengan Tengku Ritzman yang begitu asyik berborak dengan Dato Johan. Dibiarkan ketiga-tiga lelaki itu berborak soal kerja yang tidak pernah sudah. Untuknya, sudah ditinggalkan di pejabat. Di situ tidak kuasa untuknya memeningkan kepala dengan kerja atau apa sahaja berkaitan tugasannya.

“Pukul berapa nak berangkatnya?” soal Tengku Manisah kepada Dato Johan. Dia sudah tidak sabar melihat situasi itu.

“Dalam pukul 11.00 pagi,” jelas Dato Johan dengan senyuman.

Tengku Ritzlan senyum melihat ibunya sudah mengomel di sisi Tengku Yuhanis. Panjang muncung wanita itu. Lama dia memerhati orang-orang yang sedang sibuk membuat hantaran untuk pihak perempuan.

Bagaimana perasaan Ain agaknya apabila mengetahui yang Fendi akan bertunang? Tahukah Ain yang Fendi akan bertunang hari itu? Tetapi benarkah Ain yang datang ke rumahnya beberapa minggu yang lalu adalah Ain kekasih Fendi?

Seketika dia melihat Fendi turun dari tingkat atas. Kemas mengenakan kemeja t berwarna biru berseluar jeans hitam. Tidak dinafikan Fendi seorang kacak dan mempunyai susuk tubuh yang tegap. Pasti menjadi kegilaan gadis-gadis ini pejabatnya. Tengoklah seperti Nelly tempoh hari. Entah apa yang Nelly buat sehingga Fendi sanggup memberi amaran kepada bakal tunangannya.

Kenapa itu yang difikirkan? Diraup wajahnya beberapa kali. Kenapa masalah orang yang difikirkan? Masalahnya pun banyak yang belum selesai.

“Ini bila lagi?”

Terkejut dia dengan soalan Dato Lokman. Dia menyambut tangan Fendi yang sudah berada di hadapannya. Seketika kemudian Fendi meninggalkan mereka di situ.

“Fendi!” jerit Datin Fariza.

Jeritan itu membuat ramai mata yang memandang kedua beranak itu di muka pintu. Keduanya seperti bergaduh dan sebentar kemudian Fendi meninggalkan Datin Fariza yang terus menjerit memanggil Fendi. Dato Johan sudah pun bangun meninggalkan mereka dan mendapatkan isterinya di luar.

“Ritz, bila lagi?’ soal Dato Lokman mengulangi soalannya tadi.

“Tak ada calon,” jawabnya mudah. Ya, dia belum menemui calon yang sesuai dengan dirinya. Dan yang penting wanita itu mestilah mahu menerima Tengku Ellyna. Itu yang penting.

“Masakan tak ada.” Dato Lokman menepuk mesra belakang Tengku Ritzlan dengan senyuman memandang ke wajah lelaki itu yang sudah memerah.

“Memilih sangat Fiz. Entah apa yang dicari pun kakak tak tahu,” celah Tengku Manisah yang sudah mengambil tempat di sisi Tengku Ritzman. Begitu juga dengan Tengku Yuhanis.

Dato Lokman ketawa. Tengku Ritzlan sekadar senyum mendengar kompelin dari Tengku Manisah.

“Adalah tu nanti kan,” getus Dato Lokman sambil menepuk paha Tengku Ritzlan dengan mesra.

SELEPAS menghantar kedua orang tuanya dia terus memandu pulang ke rumah. Badannya terasa agak penat dengan suasana majlis yang berlarutan sehingga ke pukul 4.00 petang.

Entah mengapa sungutan Datin Fariza tadi bermain di kepalanya. Nama Ain terbit di bibir wanita itu lagi. Adakah Ain yang sedang difikirkan dan disebut oleh Datin Fariza tadi adalah orang yang sama. Ramai yang bernama Ain di dalam Malaysia ni. Bukan Ain Najiha seorang. Hmm... Ain Najiha, hatinya menyebut nama itu.

“Mesti dia jumpa dengan si budak Ain tulah! Saya dah suruh Fendi ke sini datang jumpa bakal mertua dia dan Nelly.” keras suara Datin Fariza berkata kepada Dato Johan walaupun perlahan.

Dia tidak melihat Fendi di mana-mana. Atau memang lelaki itu tidak mahu hadir pada majlis pertunangannya sendiri? Wajah Nelly kelihatan tidak kucam walaupun senyuman cuba diberikan kepada tetamu yang hadir. Mungkinkah Fendi bertemu Ain? Balik-balik Ain yang menjadi sebutan hatinya. Mengapalah gadis itu boleh melekat dibenaknya?

“Biasa aje.” Dia mendengar bisikan ibunya dan Tengku Yuhanis. Bibirnya mengulum senyuman. Apa lagi yang tidak kena di mata ibu dan emak saudaranya. Kedua ibu dan emak saudaranya tidak habis-habis berbisik sesama sendiri.

Dia menghela nafasnya. Macam-macam keraneh manusia ni, desisnya. Tersenyum dia sebaik pintu otomatik terbuka. Kelihatan Tengku Ellyna sedang bermain bola dengan Pak Man di halaman bersama Pak Man dan Mak Gayah yang sedang duduk di anjung rumah. Mujurlah kedua pemandu dan pembantu rumahnya mahu menjaga puterinya dengan baik.

Masing-masing tidak membiarkan anak itu sendirian. Walaupun kedua mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik kerana masalah bahasa namun itu tidak menjejaskan hubungan antara Tengku Ellyna dan Pak Man suami isteri.

“Papa, mari main bola,” ajak Tengku Ellyna di dalam Bahasa Melayu.

Terpegun Tengku Ritzlan seketika memandang puteri dan pemandunya bermain bola di laman rumah yang agak luas. Perlahan-lahan dia menghampiri kedua mereka meninggalkan keretanya di tempat pakir biasa.

“Apa Lyna cakap tadi?” soal Tengku Ritzlan di dalam Bahasa Inggeris.

Tengku Ellyna tersengih comel sambil membetulkan tocangnya yang sudah agak berserabut. Peluh mereneh sekitar dahinya.

“Cakap dalam bahasa melayu tak boleh ke Ku? Sekurang-kurangnya dapat dia belajar,” komen Pak Man disusuli tawa kecilnya.

Eh, orang tua ni... suka hatilah aku nak cakap bahasa apa pun! desisnya sendiri.

“Papa,” panggil Tengku Ellyna sambil menghampiri Tengku Ritzlan yang sudah melangkah menuju ke anjung rumah.

“Hmm,” sahut Tengku Ritzlan. Matanya memandang mangkuk nasi goreng di atas meja. Nampak menyelerakan. Tiba-tiba sahaja perutnya lapar. Yalah, makan tengah hari lebih kurang pukul 1.00 petang . Dan kini sudah hampir pukul 6.00 petang sudah tentu perutnya minta diisi semula.

“Cakap dengan Lyna dalam Bahasa Melayu, boleh?” soal Tengku Ellyna di dalam Bahasa Inggeris memandang ke wajah papanya.

Tengku Ritzlan pula tersengih. Memeluk pinggang puterinya dengan penuh rasa sayang yang menggunung.

“Boleh?” soal Tengku Ellyna lagi.

“Boleh,” jawab Tengku Ritzlan kemudian beralih kepada nasi goreng yang berada di atas meja. “Nasi goreng,” tunjuk Tengku Ritzlan kepada mangkuk yang berisi nasi goreng.

“Ya, ini nasi goreng,” jawab Tengku Ellyna.

Mak Gayah ketawa melihat reaksi kedua beranak itu.

“Siapa masak ni? Mak Gayah?” soal Tengku Ritzlan memandang kepada Mak Gayah yang masih terpacak tidak jauh dari tempatnya duduk.

“Kami bawa Ellyna jalan-jalan tadi, kemudian singgah di gerai ni. Jadi saya belikan nasi goreng tu,” celah Pak Man sebaik menerima isyarat mata daripada isterinya.

“Ooo...” jawab Tengku Ritzlan dengan anggukannya. Disudu nasi itu dan disuapkan ke mulutnya. Hmm... boleh tahan. Matanya memandang kepada nasi dalam mangkuk itu, ada ayam yang dipotong kecil-kecil, jagung, lobak merah yang dipotong halus.

“Sedap Ku?” soal Pak Man yang sudah menghampiri Tengku Ritzlan. Matanya beralih kepada Tengku Ellyna yang memandang papanya memakan nasi gorengnya.

“Hmm... sedap. Mak Gayah, nanti buat nasi goreng macam ni,” pesan Tengku Ritzlan kembali memandang Mak Gayah.

Mak Gayah hanya senyum dan mengangguk tidak bersuara ya mahupun tidak.

“Papa, jangan habiskan nasi goreng Lyna.” Tengku Ellyna merampas mangkuk nasi goreng yang sedang enak dimakan oleh papanya.

Tengku Ritzlan sudah ketawa-ketawa. Dia benar-benar lapar ketika itu tetapi nasi gorang itu memang sedap dan kena dengan tekak.

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...