
Laju langkahnya memintas langkah Iskandar sambil menarik lengan lelaki itu.
“Abang!” panggilnya. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya selepas mendengar cerita Ashila.
Iskandar terhenti daripada langkahnya. “Abang ada appointment ni dah lambat sangat. Meeting tadi lama sangat,” katanya bernada resah.
“Tapi Ika ada hal penting nak cakap dengan abang ni,” kata Shafiqa merenung ke dalam mata lelaki itu. Dia tidak tahu ke mana harus diluahkan kebimbangannya itu.
“Abang ada appointment, selepas appointment nanti kita cakap,” balas Iskandar sambil menarik besi di pintu kaca itu.
“Ini tentang Ashi, bang,” beritahu Shafiqa terus menuruti langkah Iskandar tetapi berhenti di atas tangga memandang Iskandar yang sudah pun menuruni tangga menuju ke bawah.
Iskandar berhenti lalu menoleh kepada Shafiqa yang berdiri di anak tangga paling atas.
“Kenapa dengan dia?” soal Iskandar ingin tahu. Shafiqa sudah melangkah menuruni beberapa anak tangga mendapatkannya.
Shafiqa menghela nafasnya. Kini dia bertentang mata dengan Iskandar yang menunggu jawapan daripadanya.
“She’s pregnant,” bisik Shafiqa biarpun bukan di telinga Iskandar.
Dia tidak mahu orang lain mendengar apa sedang berlaku. Dia tidak mahu Encik Zakey mendapat malu. Dia tidak mahu sesiapa daripada keluarga itu mendapat malu. Dan harapannya kini adalah Iskandar. Dia berharap lelaki itu dapat membantu Ashila. Tetapi tidak tahu apakah bantuan yang diperlukan oleh Ashila?
“Wha...”
Pantas Shafiqa memekup mulut Iskandar. “Syyy...” Berkerut dahi Shafiqa.
Tangan Shafiqa yang sedang memekup mulutnya segera di tarik turun. Terkial-kial Shafiqa mengikut langkah Iskandar.
“Kita cakap dalam kereta.” Iskandar berpaling memandang Shafiqa di belakangnya
“Bang, Ika ada kerjalah.” tingkah Shafiqa sambil cuba menarik tangannya agar dilepaskan oleh Iskandar. Mereka kini sudah pun melintas menuju ke tempar parkir kereta.
“Kerja-kerja biasa aje, kan. Ika tak ada appointment dengan sesiapa pun hari ni, kan?” soalnya sambil memicit alarm keretanya. Pintu di buka menyuruh Shafiqa masuk ke dalam.
Lama Shafiqa berdiri memandang Iskandar. Aduhai, pening kepalanya dengan pelbagai masalah yang datang bagai ribut taufan. Belum selesai yang lain, datang pula yang lebih menduga dirinya. Bila semua ini akan selesai, soalnya sendiri.
Akhirnya dia masuk dan duduk di sebelah pemandu. Iskandar segera mengambil tempatnya di bahagian pemandu.
“Bila dia beritahu?” soal Iskandar setelah hampir lima minit mereka berada di dalam kereta. Suasana sedikit sejuk dengan penghawa dingin yang sengaja dipasang kuat oleh Iskandar. Keretanya kini sudah pun berada di jalanan. Matanya tajam memfokus ke jalan.
“Semalam dia datang ke rumah,” jelas Shafiqa.
“Sepatutnya Ika cuti hari ni kan?” soal Iskandar sekilas memandang Shafiqa.
“Ya, tapi ini tentang Ashi. Dan Ika rasa perlu beritahu pada abang,” jelas Shafiqa berdebar-debar.
Semenjak Ashila berterus terang dengannya semalam, dadanya sentiasa berdebar-debar. Dia tidak tahu mengapa. Rasa takut, cemas, bimbang dan pelbagai rasa bergelora di dadanya. Apakah jalan yang terbaik untuk Ashila sekarang? Jamal masih belum bersedia mahu mengahwini temannya itu. Memang dasar jantan setan! Jeritnya sendiri.
Iskandar meraup rambutnya.
“Mengapa sekarang Ika baru nak beritahu abang. Sebelum ini Ika langsung tak mahu beritahu abang tentang Ashi. Dah tenat begini baru cari abang?” marah Iskandar sambil menjeling tajam ke arah Shafiqa. “ Kenapa setia tak bertempat Ika?”
Bulat mata Shafiqa menatap wajah Iskandar. Rasa sesak dadanya semakin sesak dengan kata-kata Iskandar sebentar tadi. Ya dia faham sikapnya yang sebegitu. Tetapi ini tentang aib orang, bibirnya bukan bibir cawan atau tempayan yang tidak boleh ditutup. Kalau Ashila mendapat malu, dia juga turut malu.
“Habis abang nak salahkan Ikalah dalam hal ni!” balas Shafiqa tidak puas hati. Geram kerana dirinya dipersalahkan pula.
“Ya!” akui Iskandar kasar.
Terasa wajahnya ditampar oleh pengakuan Iskandar. Kenapa lelaki ni? Soalnya sendiri.
“Kalau Ika tak terlalu berahsia dengan perangai Ashi, mungkin dia dah lama kahwin dengan Raiyan. Taklah teruk kita kena fikir perkara ni. Tengok sekarang? Dia dah mengandung, siapa yang nak bertanggungjawab semua ni?” lantang suara Iskandar meluahkan rasa tidak puas hati dengan sikap Shafiqa.
Terasa pijar telingannya mendengar nama Raiyan dibabitkan sama. Matanya tajam memandang Iskandar yang tidak memandangnya. Tubuhnya mengigil menerima kata-kata Iskandar.
Iskandar segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi seseorang.
“Ya, Intan. Tolong cancel appointment I dengan Encik Joshua. I have something urgent came out suddenly. Ya, buat appointment lain,” ucap Iskandar dan memutuskan talian.
Sepi antara mereka.
“Kita nak ke mana ni?” soal Shafiqa apabila kereta yang di naiki masuk ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 setelah keluar daripada Lebuhraya Bertingkat Ampang. Dia tahu jalan itu menuju ke Bukit Antarabangsa. Ke rumah Encik Zakey.
“Kita jumpa Ashi,” jawab Iskandar tanpa memandang Shafiqa.
Ternganga mulut Shafiqa. Dadanya kencang sebagaimana larian kenderaan pacuan empat roda Iskandar.




0 berbisik:
Post a Comment