
Suasana semakin sepi selepas pukul 7.00 malam. Kakitangan Archkey Sdn Bhd ramai yang sudah pulang, begitu juga Muzaffar yang sudah lesap sejak pukul 5.30 petang tadi. Intan pula tepat-tepat pukul 5.00 petang sudah meminta diri untuk pulang. Dia memandang kepada beberapa orang kakitangan yang sedang berbincang sesama sendiri di meja kerja masing-masing.
Bilik mailing juga masih terpasang lampunya dan terdengar Franking Machine berbunyi. Pasti salah seorang pekerja Despatchnya sedang mengasingkan surat untuk di hantar ke pejabat pos esok. Bilik ayahnya sejak seminggu lalu bergelap. Selepas pemergiaan Ashila, Encik Zakey langsung tidak menjenguk pejabat. Dan dia tidak bertanya, biarlah ayahnya berehat sementara waktu. Dia faham dengan perasaan lelaki itu. Kalau dia di tempat lelaki itu pun tentu sahaja dia berasa sedih. Walaupun Encik Zakey sentiasa berwajah tenang, tetapi siapa yang tahu bagaimana perasaannya kehilangan satu-satunya anak perempuan yang dia ada.
Iskandar segera menutup pintu biliknya selepas menutup lampu. Berdiri di situ sebentar sambil memandang sekeliling. Dia tidak ingat sudah berapa tahun dia bekerja di situ. Dan setahunya Shafiqa sudah lebih dua tahun bekerja di situ dan di bawah tangannya.
Ashila yang memperkenalkan Shafiqa kepadanya, walaupun dia memang sudah mengenali gadis itu sebelum ini. Dan memang dia mengenali Shafiqa daripada salah seorang teman se Universitinya dahulu. Shafiqa salah seorang arkitek perempuan terbaik di syarikat tempat gadis itu bekerja sebelum bekerja dengan Archkey Sdn Bhd. Melihat portfolio dan surat testimonial gadis itu yang begitu memberangsangkan, daripada salah seorang Arkitek Kanan syarikat itu, membuat Encik Zakey ‘jatuh cinta’ untuk mengambil Shafiqa. Tugasan pertama yang diserahkan olehnya kepada Shafiqa begitu memuaskan hati ayahnya.
Perlahan-lahan dia melangkah sambil memandang pekerjanya yang masih belum pulang. Menegur mereka setakat berbasa basi. Memandang tempat Mazni dan Shafiqa. Gelap. Keduanya sudah pulang, desisnya sendiri.
Langkahnya terhenti apabila melihat lampu di bilik Ashila terbuka. Siapa? soalnya sendiri. Perlahan-lahan dia mendekati bilik yang terletak bersebelahan pintu keluar dan masuk. Kelihatan Shafiqa yang sedang berdiri di tingkap merenung keluar yang sudah beransur gelap.
“Ika?” tergur Iskandar sambil melangkah masuk ke dalam. Bilik kosong, tiada apa di situ hanya semata-mata sebuah meja kerja. Di atasnya pun kosong, tiada fail mahu pun kertas. Seluruh built in cabinet kosong. Hanya sesekali Ashila menjenguk bilik itu semasa hayatnya. Tidak terasa akan kehadirannya di situ.
Shafiqa menoleh sebentar dan kembali merenung keluar.
“Kalau Ika tak terlalu berahsia, tentu Ashi masih ada kat sini lagi kan,” lirih suaranya. Air matanya kembali menuruni pipi.
Iskandar gamam. Hatinya terusik. Kata-kata itu pernah diucapkan kepada Shafiqa beberapa ketika dahulu. Tetapi segala-galanya sudah berlalu dan perkara itu tidak akan berulang kembali dan Ashila tidak akan kembali kepada mereka semula.
“Semua salah Ika.” Shafiqa masih menyalahkan dirinya sendiri.
“Ika.” Iskandar segera menghampiri Shafiqa.
“Betul kata abang dulu, kalau Ika tak terlalu berahsia, Ashi tentu sudah bahagia bersama Raiyan dan tentu sahaja dia masih bersama kita, kan?” kata Shafiqa dalam tangisannya.
“Ika, Ika.” Iskandar menghampiri Shafiqa lalu memeluk bahu gadis itu dari belakang. Dahinya jatuh di belakang kepala Shafiqa. Sedih dia mendengar kata-kata Shafiqa. Gadis itu masih belum dapat menerima pemergian Ashila. “Jangan cakap macam tu. Semua ini sudah ditentukan oleh Allah. Kita kena reda,” pujuk Iskandar perlahan.
Shafiqa memegang erat kedua belah lengan Iskandar yang mengalas bahunya sambil menangis.
“Ika terlalu penting diri sendiri,” ucapnya masih dalam tangisan. “Kalau tidak Ashi masih dengan kita lagi.”
Sebak hati Iskandar dan semakin erat dia memeluk Shafiqa. Dia pernah menyumpah Ashila. Benarlah kata Shafiqa beberapa ketika dahulu, yang kata-katanya itu adalah satu doa. Tetapi ketika itu dia terlalu marah apabila mendapat tahu yang Ashila sedang mengadung anak luar nikah. Rasa bersalah itu masih bergelumang di hatinya. Dia tidak sempat untuk meminta maaf daripada Ashila, tetapi dia berharap Ashila dapt memaafkannya di sana.
“Ini bukan salah Ika, sudah ditakdirkan untuk Ashi mendahului kita dengan cara yang begitu. Redalah Ika,” pintanya dengan rasa sebak. Air matanya membasahi rambut Shafiqa.
Esakan Shafiqa semakin panjang sebaik mendengar kata-kata Iskandar sebentar tadi. Iskandar menariknya lalu memeluknya dengan erat.




0 berkata:
Post a Comment