Lama dia menatap muka hadapan khabar berbahasa melayu itu. Serasanya baru tiga hari lepas dia melepaskan kemarahannya terhadap Jamal. Dan kini... masinkah mulutnya. Dia sudah menyumpah Jamal. Mungkinkah ini akibat menyumpah orang. Dia menutup bibirnya dengan dua jari. Kaca mata diangkat dan disangkut di atas kepalanya. Dibaca berulang-ulang kali.
Benar, inilah lelaki yang membuat Ashila sasau dan gila dan buta cinta. Dia memicit-micit kepalanya yang tidak sakit tetapi tiba-tiba dia merasa pening.
Inilah wajah Jantan Sundal tu, desisnya. Tetapi anak dia meninggal. Isterinya masih koma dan Jamal pula terselamat. Patutnya dialah yang mati, gerutu Shafiqa sendiri. Dia bangun dan menjenguk memandang ke bilik Iskandar. Lelaki itu sedang berada di talian. Pantas dia melangkah ke bilik Iskandar sambil membawa akhabar tadi dan menutu pintu bilik Iskandar.
Berkerut dahi Iskandar memandang Shafiqa yang memandangnya. Nak

menggodakah Ika ni? Soal Iskandar sendiri melihatkan cara renungan Shafiqa terhadapnya.
“I call you back Raymod. Yes. Okay, bye.” Pantas Iskandar memutuskan talian tersebut.
Shafiqa segera menghampiri Iskandar sambil meletak akhabar di hadapan lelaki itu. Jarinya menunding kepada foto Jamal.
“Ini Jantan Sundal hari tu.” Ditekan-tekan jarinya ke gambar Jamal.
Iskandar hanya memerhati. Dia sudah pun membacanya sebentar tadi dan dia tidak berminat hendak mengetahui perkara itu. Biarlah Tuhan sahaja yang menghukum hambanya yang bersalah dan berdosa.
“Dia tak mati,” kata Shafiqa memandang kepada Iskandar.
“Astaghfirullah al’azim... Ika. Tak baik mendoakan kematian orang lain.” Ditunjal dahi gadis itu. Geram sungguh dia dengan sikap Shafiqa.
“Masin ke mulut Ika?” soal Shafiqa masih menatap wajah Iskandar yang sudah mula membaca berita itu. Tiba-tiba dia merasa bersalah kerana menyumpah-nyumpah Jamal tempoh hari. Aduhai... keluhnya sendiri sambil menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal.
“Ini kuasa Allah. Bukan manusia. Manusia yang sengaja mengatur kata begitu bila terjadi sesuatu. Syirik dan khurafat, tau tak?” tegas Iskandar. Geram dengan kenyataan Shafiqa yang sudah melanggar pencanggahan agama.
Shafiqa senyap mendengar leteran Iskandar. Dia duduk di hadapan lelaki itu yang masih membaca berita tentang kemalangan yang menimpan Jamal dan keluarganya. Lelaki itu dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Mungkin mereka berasal dari sana, tekanya sendiri.
“Bang,” panggil Shafiqa perlahan. Masih memandang Iskandar yang begitu khusyuk membaca berita diakhabar yang dibawanya tadi.
“Hmm...” jawab Iskandar tanpa memandang Shafiqa. Barulah dia tahu yang lelaki bernama Jamal yang pernah bercinta dengan Ashila dahulu seorang pengganggur. Benarlah apa yang dikatakan oleh Shafiqa selama ini. Lelaki itu menipu adiknya. Entah berapa banyak duit Ashila yang lebur kerana Jamal.
Shafiqa senyap. Jarinya melukis-lukis di atas meja Iskandar tanpa kesan. Dia kembali memandang Iskandar yang kini sudah memandangnya tanpa senyuman.
“Apa halnya ni?” soal Iskandar sambil menjeling Shafiqa yang berada di hadapannya. Akhabar tadi dilipatnya dan diletak ke tepi. Matanya kembali memandang skrin komputernya.
Shafiqa senyap. Jarinya masih melakar sesuatu di atas meja Iskandar yang dia sendiri tidak pasti.
“Ika...” Tidak tahu bagaimana untuknya memulakan kata-kata.
Iskandar memandang gadis itu sambil menongkat dagunya dengan tangan.
“Apa dia?” soal Iskandar tidak sabar hendak mengetahui apa yang hendak dikatakan oleh Shafiqa. Bengang betul dia melihat Shafiqa terfikir-fikir hendak bersuara.
“Abang masih marah kan Ika?” soal Shafiqa ingin tahu. Entah mengapa itu yang ditanyanya. Melihatkan Iskandar tenang-tenang begitu, itulah masanya untuk bertanya.
Iskandar membetulkan duduknya yang mula merasa tidak selesa mendengar soalan Shafiqa.
“Kenapa abang nak marah pulak?” soalan Iskandar pula. Matanya dilarikan kepada skrin komputer. Surat yang ingin ditaipnya tadi masih tidak bertaip. Fikirannya kosong dan hanya mengumpul pelbagai rasa yang tidak menentu.
Shafiqa senyap. Kini dia sudah menongkat dagunya memandang Iskandar yang tidak memandangnya.
Eh, budak ni! Sengaja nak menggoda aku ke? Soalnya sendiri tidak senang dengan pandangan Shafiqa yang sebegitu. Gadis itu nampak comel sangat dengan wajah jujurnya.
“Sebab...” katanya terhenti lagi. Tunduk memandang kertas yang penuh dengan contengan hasil karya Iskandar. Lelaki itu memang begitu, kalau bercakap tangannya pun berjalan menconteng entah apa-apa di atas kertas di hadapannya.
Iskandar menyandarkan tubuhnya selesa memandang Shafiqa pula. Dan kini mata mereka bertemu. Berapa lama dia boleh bertahan? Dia tidak pasti. Tetapi dia tahu Shafiqa boleh merenung ke matanya jauh hingga ke sudut hatinya, tetapi pandangan gadis itu hanyalah sebuah pandangan kosong. Kerana di hati Shafiqa tiada dirinya.
“Sebab Ika tolak abang?” soal Iskandar ingin tahu.
Shafiqa mengangguk-anggukkan kepalanya.
Iskandar menghela nafasnya.
“Bolehkah abang paksa Ika sayang dan cinta kan abang?” soal Iskandar ingin tahu.
Shafiqa senyap. Hanya memandang Iskandar yang memandangnya. Dia tidak punya jawapan daripada soalan Iskandar.
“Abang hanya mahu cinta itu datang dari hati Ika sendiri. Bukan kerana terpaksa atau apa sahaja yang membuat Ika terpaksa cintakan abang,” jelas Iskandar. “Kalau benar ada lelaki lain yang cinta kan Ika begitu juga Ika, abang gembira dan akan sentiasa berdoa semoga Ika dan lelaki itu akan saling cinta dan mencintai sehingga ke akhir hayat,” terasa dalam suaranya menutur ayat-ayat itu.
Shafiqa masih seperti tadi. Cuba mencari reaksi disebalik kata Iskandar. Marahkah Iskandar? Ikhlaskah Iskandar? Mengapa itu yang dibimbangkan? Soalnya sendiri.
“Kita memang tak ada jodoh kan. Dan jodoh Ika bukan dengan abang. Dah itu ketentuan Allah. Abang terima,” lirih suara Iskandar dalam menerima apa yang telah dirancangkan oleh Allah Subhanahuwataala. Dia reda dan pasrah walaupun rasa sakit yang menggigit hatinya semakin dalam.
Shafiqa tunduk. Dia menyandarkan tubuhnya merenung jejarinya yang bermain sesama sendiri. Hatinya tersentuh dengan kata-kata Iskandar. Walaupun lelaki itu nampak begitu tenang sekali tetapi siapa tahu apa yang bergelora di hatinya.
“Maafkan Ika,” pinta Shafiqa perlahan.
“Untuk apa? Ika tak bersalah. Itu pilihan Ika dan abang harus terima,” ujar Iskandar lembut. Ya, dia harus belajar menerima yang Shafiqa sudah memilih Raiyan. Tidak perlulah dia mengharap lagi. “Ajal, maut, jodoh, pertemuan ditentukan oleh Allah. Walau abang sayang kan Ika macam mana sekali pun, kalau jodoh kita tiada. Tiadalah,” sambung Iskandar lagi. Dia tersenyum menyembunyikan kelukaan di hati yang dikelarnya sendiri.
Shafiqa senyap. Mengangguk menerima kata-kata Iskandar. Dia merasa sedikit lega, yang lelaki itu dapat menerima semua itu. Dia tidak mahu hubungannya dan Iskandar renggang disebabkan dia sudah memilih Raiyan.
“Kalau Ika ada masalah, abang sentiasa ada di sini untuk Ika,” ucap Iskandar masih dengan senyumannya memandang Shafiqa yang memandangnya. Hatinya semakin hiba dengan kata-katanya sendiri.




3 berbisik:
hehehe...bru mie pasan..syafiqa n iskandar...nme mie n tunang mie...ade hero lain ke pasni kak?hehehe
Ya ke? Laa... akak x perasaan. Ika & Iskandar akhirnya, masa tgh2 tu je ada Raiyan. Tp Mie jgn ada hero slps Iskandar sudah le ya, hi3x... (akak gurau je...)
kak...rayyan nme nephew mie..adif rayyan...hehehe
Post a Comment