SEMANGAT...

Jan 31, 2012

Kisah IS dan IKA 13



Terkejut dia melihat Shafiq yang sedang duduk di hadapan mejanya. Rasa pelik. Selama ini Shafiq tidak berminat hendak menjenguk pejabatnya dan kini berada di hadapan meja kerjanya.

Dia baru sahaja selesai berbincang dengan klien tentang pelan banglo di bandar baru. Rasa lega dengan sketch drawingnya yang sudah dipersetujui. Nampaknya dia terpaksa turun semula untuk melihat tapak projek. Kalau sebelumnya dia terpaksa melakar bangunan pejabat yang terdiri daripada bangunan kedai 3 tingkat sahaja.

“Kenapa tak beritahu nak datang?” soal Shafiqa memandang Shafiq yang tiba-tiba berdiri memandangnya. Dia meletak fail tadi di atas kabinet di bahagian belakangnya. Kemudian duduk di kerusinya.


Shafiq menggaru-garu kepalanya seperti orang hilang akal. Lama dia memandang Shafiqa seperti mencari sesuatu untuk disampaikan.

“Ika!” panggil Iskandar yang sudah pun keluar dari biliknya.

Kedua kembar itu menoleh kepada Iskandar yang sudah menghampiri mereka berdua. Mazni menjengahkan mukanya memandang ketiga-tiga mereka. Berkerut dahinya melihat Shafiq dan Shafiqa silih berganti.

“Ini kembar Ika ke?” celah Mazni kepada Shafiqa.

Shafiqa tersengih. “Ya, Shafiq” jawab Shafiqa sambil memperkenalkan abang kembarnya.

“Muka sama, nama pun dekat-dekat nak sama,” ujar Mazni lagi.

“Nama pun kembar kak,” balas Shafiqa disusuli tawa kecilnya. Ada rasa

bangga dapat memperkenalkan abang kembarnya kepada Mazni.

“Kita keluar kejap, Ika.” Pantas Iskandar memotong perbualan itu sambil memberi isyarat kepada Shafiqa.

“Ke mana?” Berkerut dahinya mendengar ajakan Iskandar. “Ika ada janji malam ni,” jelasnya dan berharap Iskandar faham. Dia beralih memandang Shafiq yang memandang Iskandar.

Iskandar menggaru-garukan kepalanya. “Shafiq pergi dulu. Abang dan Ika menyusul sekejap lagi,” kata Iskandar meminta Shafiq bergerak dahulu.

Shafiq akur dan terus beredar meninggalkan mereka di situ. Shafiqa memandang Shafiq yang sudah pun berlalu tanpa pamitan. Pelik sungguh. Datang tanpa diundang, tanpa menyatakan tujuan kedatangannya dan terus berlalu atas permintaan Iskandar.

“Apa halnya ni?” soal Shafiqa kembali mengalihkan pandangannya kewajah Iskandar. Lelaki itu sudah pun masuk menuju ke bahagian belakang tempatnya dan menyambar beg tangannya. Dia semakin keliru melihat reaksi Iskandar. “Abang... apa ni?”

Mazni senyap dan hanya memerhati sahaja.

“Jom, tempat ni tak sesuai untuk abang beritahu Ika. Kita cakap dalam kereta nanti.” Iskandar menarik tangan Shafiqa.

“Kita nak ke mana?” soal Shafiqa lagi.

Iskandar senyap sambil terus menarik tangan Shafiqa turun dan keluar dari pejabat Archkey Sdn Bhd menuju ke kereta Iskandar yang terparkir di hadapan bangunan dua tingkat itu.

Geram dia melihat Iskandar yang sengaja memekakkan telinganya.

Direntap tangannya dengan kuat sebaik mereka sampai di kereta Iskandar.

“Cakaplah apa dia? Jangan buat Ika cemas macam ni!” Tingkah Shafiqa mula merasa cemas dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Iskandar dan kedatangan Shafiq sebentar tadi.

Iskandar memandang Shafiqa sambil bercekak pinggang. Lama dia menatap wajah itu.

“Abang, apa ni?!” Shafiqa hampir menjerit melihat gelagat Iskandar yang tenang tetapi membuatnya semakin cemas.

Iskandar menghela nafasnya. Tangannya sudah mengusap kepala gadis itu. Menarik nafasnya dalam-dalam.

“Raiyan,” sebutnya.

Bulat mata Shafiqa merenung ke mata Iskandar.

“Kenapa dengan Raiyan?” soal Shafiqa dengan suara yang bergetar. Rasa takut, cemas dan berdebar tiba-tiba menyelubungi hatinya. Matanya sudah dikaburi air mata. Entah mengapa dia dapat merasai sesuatu yang tidak enak.

“Kita pergi tengok Raiyan, hmm...” pujuk Iskandar perlahan.

“Kenapa dengan Raiyan, bang?” air matanya mulai mengairi pipi. Tidak tahu mengapa?

Iskandar tunduk memandang kasut yang dipakainya. Kemudian kembali memandang ke wajah Shafiqa. Tangan Shafiqa dipegangnya dengan erat.

“Abang harap, Ika bertenang, ya...” pintanya.

“Abang... kenapa dengan Raiyan?!” Dia sudah tidak sabar dengan sikap Iskandar. Baju Iskandar ditarik berkali-kali meminta lelaki itu memberitahu perkara yang berlaku ke atas Raiyan.

“Raiyan terperangkap dalam runtuhan bangunan di tapak projek Sri Teja,” jelas Iskandar tenang.

“A... apa?” Ketika itu dia sudah tidak nampak lagi wajah sesiapa.

0 berkata:

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...