
“What?!” terjerit Iskandar mendengar cerita Shafiqa.
“Syyy...” Shafiqa meletak jari telunjuknya di bibir menyuruh Iskandar tidak bersuara terlalu kuat. Matanya liar memandang sekitar restoran eksklusif itu. Suasana sedikit tenang walaupun waktu sudah menunjuk hampir ke pukul 2.00 petang. Mujurlah tiada pelanggan yang memandang mereka.
“Eii... kalau abang kenallah dia. Memang abang ganyang-ganyang dia,” kata Iskandar dengan rasa marah terhadap Helmi dengan apa yang dilakukan kepada rumah peninggalan arwah orang tua Shafiqa. “Kita cari lawyer, saman si keparat tu!” cadang Iskandar penuh emosi.
Shafiqa menggeleng-gelengkan kepalanya dengan senyuman.
“Tak perlu,” jawab Shafiqa tenang sambil meneguk kopi jus tembikai yang mulai sejuk. Makan barat yang dipesan oleh Iskandar sebentar tadi langsung tidak membuka seleranya.
“Kenapa pulak?” soal Iskandar lalu meletak sudu dan garpunya. Mengelap tepi bibirnya dengan napkin yang mengalas pahanya.
“Bila Ika fikir-fikirkan balik, elok juga. Ika ingat nak bina rumah melayu. Jadikan homestay. Abang rasa okey tak?” soal Shafiqa dengan ceria.
Sejak pulang dari kampung rancangan sepontan itu yang bermain-main difikirannya. Dia amat sayangkan tanah peninggalan arwah orang tuanya. Begitu pun dia harus berbincang dengan Shafiq terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa. Bimbang abang kembarnya itu ada perancangan lain pula.
Iskandar memandang Shafiqa dengan senyuman. “Berjalan aje kepala Ika ni ya? Dan idea Ika tu memang bagus,” puji Iskandar dengan senyuman. Dia meletak gelas berisi jus yang sama dengan Shafiqa di atas meja selepas meneguknya sedikit.
Shafiqa tersenyum comel.
“Tetapi kos nak bina rumah tradisional ni, mahallah Ika,” keluh Iskandar. Matanya masih merenung gadis di hadapannya.
Shafiqa tersenyum sambil mengalih bola matanya tepat ke wajah kacak Iskandar. Kemudian bergerak sedikit sambil melipat kedua belah tangannya di atas meja.
“Apa kata Ika pinjam duit abang? Boleh?” sengaja dia hendak menduga lelaki itu. Mana tahukan nasibnya baik? Tetapi itu adalah cadangan paling akhir jika tiada yang mahu meminjamkan sejumlah wang untuknya membina rumah yang diimpikan.
Iskandar tersenyum lebar mendengar cadangan si manis yang masih memandangnya. Jarinya mula mengetuk-ngetuk meja yang memisahkan dia dan Shafiqa. Lambat-lambat dia bersuara.
“Boleh,” jawabnya. “Tetapi ada syarat,” ujar Iskandar merenung tepat ke mata Shafiqa yang memandangnya.
Luntur senyuman Shafiqa melihat senyuman gatal Iskandar. Dia sudah dapat mengagak apakah syarat yang akan dikenakan oleh Iskandar.
“Nak dengar syarat abang?” usik Iskandar.
“Ika dah tau apa syaratnya. Abang tak payah cakap. Ika bergurau ajelah,” balas Shafiqa tidak memandang Iskandar. Beg tangan yang terletak di lantai sisi kerusi di tariknya lalu mencari telefon bimbitnya.
Dia sudah mengetahui syarat mengarut Iskandar. Bukannya sebulan dua dia mengenali lelaki itu. Sama usianya persahabatannya dan Ashila, cuma sejak akhir-akhir ini sahaja dia rapat dengan Iskandar disebabkan dia adalah arkitek di bawah tangan lelaki itu.
Iskandar ketawa.
“So?” soalnya. “Okey jadi isteri bongsu abang?” masih bersisa tawa Iskandar.
“Abang ni tak ada benda lain ke nak fikir?” soal Shafiqa benar-benar marah dengan soalan itu. Tiada gunanya dia mengutuk lelaki itu. Dia yang berdosa. Entah berapa banyak dosanya kerana mengutuk Iskandar.
“Kalau dengan Ika itu aje yang abang boleh fikirkan,” usik Iskandar lagi. Kemudian ketawa lagi.
Ya Allah, meluat, menyampah! Jerit hatinya.




0 berkata:
Post a Comment