
“Siapa bagi bunga ni?” soal Shafiqa sambil mengangkat karangan ros yang masih terbaring di atas mejanya. Dihidu bunga itu. Wanginya. Masakan Raiyan begitu baik hati menghantar bunga lagi kepadanya. Bahaya ni.
Bunga-bunga ni selalunya orang yang bercinta, desisnya sendiri. Tiba-tiba dia tersedar. Adakah Raiyan menyalah tafsir akan hubungan mereka. Sudah, mamat ni! Matilah aku. Masalah lagi, gumamnya sendiri.
“Entah, kalau tak Tengku Izhar pasti Tun.” Mazni ketawa dihujung kata-katanya dan kembali duduk di kerusinya.
“Hisy, janganlah!”
Terbayang di matanya lelaki-lelaki yang disebutkan oleh Mazni tadi. Tengku yang disebutkan itu salah seorang kerabat diraja dan dia juga yang melukis pelan rumah untuk lelaki itu di Sungai Buloh. Manakala Tun, lelaki itu sudah melewati 60. Begitu pun masih gagah untuk memandu kereta. Dia juga menjadi arkitek untuk rumah banglo lelaki itu di Kajang.
“Ataupun berkemungkinan Datuk Zainal.” Usik Mazni lalu ketawa kuat mengingatkan lelaki berbadan gempal teman baik Encik Zakey.
“Tolonglah kak Maz. Biarlah lelaki yang baik, budiman, tak handsome pun tak apa. Asalkan tak playboy,” balas Shafiqa sambil meletak bunga di dalam bekas kaca yang sudah kosong.
“Iskandar Aisy kan baik dan budiman,” selar Mazni mahu menduga Shafiqa.
Ya, Iskandar juga seorang lelaki yang melengkapi pakej seorang lelaki idaman wanita. Kacak, berharta dan berkejaya yang boleh dibanggakan, cuma sedikit gila-gila.
“Akak tolonglah. Biarlah lelaki lain tetapi bukan si ribut petir tu,” tingkah Shafiqa bengang.
Pelik. Semua orang kenenkan si Iskandar kepadanya. Bagus sangatkah mamat tu? Yalah memanglah bagus, handsome, berharta tetapi dia mengenali Iskandar sebagai seorang abang, bukan teman dan mahu pun sahabat.
Mazni ketawa mendengar gelaran yang digelar oleh Shafiqa kepada Iskandar. Lelaki itu pun sudah maklum Shafiqa memanggilnya sebegitu.
“Yang akak tau... Is memang sayangkan Ika,” kata Mazni dengan begitu yakin sekali. Dia dapat melihat daripada reaksi lelaki itu. Dia tahu, gurauan Iskandar adalah serius. Mungkin malu hendak berterus terang, jadi gurauan itu sahaja yang mampu disampaikan kepada Shafiqa.
“Abang Is tu dah Ika anggap macam abang sendiri kak,” keluh Shafiqa. Bosan apabila disogok dengan pelbagai kebaikan Iskandar.
“Yalah, itu kata Ika. Tapi macam mana dengan Is? Ika pernah tengok dia keluar dengan perempuan-perempuan lain selama ni?” soal Mazni sambil menjengah wajahnya di sebalik dinding yang memisahkan dia dan Shafiqa. Wajah gadis itu ditenungnya. Lama.
“Eh, mana Ika tau! Takkan Ika nak tanya. Dan takkan abang Is nak beritahu semua tu pada Ika,” balas Shafiqa semakin tidak senang dengan perbualan mereka yang sudah menjurus kepada peribadi Iskandar.
“Setahu akak, semua rahsia, Is beritahu pada Ika. Mana dia pernah simpan-simpan, kan?” Mazni sudah ketawa. Mana tidaknya. Lelaki itu akan datang ke meja Shafiqa untuk meluahkan masalah dan segala rahsianya. Telinganya tidak pekak lagi.
“Amboi, pasang telinga nampak!” jeling Shafiqa dengan wajah kucam.
Mazni tersengih. “Dinding ni tak kalis bunyilah, Ika,” balas Mazni sambil mengetuk dinding yang memisahkan mereka. Mazni kembali duduk di tempatnya.
Shafiqa menghela nafasnya. Dia tidak menyalahkan Mazni mendengar segala apa yang diceritakan oleh Iskandar kepadanya. Apa yang boleh dilakukan apabila lelaki itu sendiri yang datang kepadanya untuk bercerita?
“Dia sayangkan Ika bukan macam dia sayangkan Ashi, tau.” Mazni seperti memohon simpati daripada Shafiqa untuk Iskandar.
Shafiqa menongkat kepalanya. Apa-apa pun dia meletakkan Iskandar sebagai seorang abang yang perlu dihormati, itu sahaja. Kalau lelaki itu mempunyai perasaan terhadapnya, terpulang dan dia tidak dapat menghalangnya.

0 berkata:
Post a Comment