The best thing about me is YOU...
Entah berapa puluh kali bait-bait tulisan daripada Iskandar dibacanya. Dadanya semakin berdebar-debar sebaik melihat kelibat Iskandar masuk ke dalam biliknya. Semalam Raiyan membuat kejutan yang membuatnya tidak dapat melelapkan mata. Dia takut. Takut dengan bicara Raiyan semalam.
Dan hari ini Iskandar pula membuat kejutan diawal pagi. Bila masa lelaki itu

meletakkan hadiahnya di situ. Setahunya Iskandar tidak pulang ke pejabat selepas temu janjinya di Shah Alam semalam. Dan ini adalah hadiah-hadiah paling mahal yang diterima daripada Raiyan dan Iskandar dalam usianya mencecah 28 tahun. Pemberian yang berupa daripada hati mereka.
Kad berwarna merah jambu itu segera disimpan di dalam beg tangannya begitu juga kotak yang menempatkan cincin yang berbentuk separuh hati daripada emas putih yang padu. Dia sendiri tidak pasti berapakah harganya?
Semasa dia sampai tadi, kotak itu sudah berada di situ bersama tiga kuntum bunga ros merah yang belum kembang. Seingatnya, kalau seseorang memberi tiga kuntum bunga ros merah, tandanya I love you. Itulah yang disampaikan oleh Intan kepadanya beberapa ketika dahulu. Aduhai, terasa ruang yang luas tidak dapat memberinya udara yang cukup untuk disedut.
“Kak Maz,” panggil Shafiqa perlahan.
“Hmm...” Mazni menjengahkan mukanya memandang Shafiqa yang memandangnya. “Kenapa ni?” soal Mazni ingin tahu.
“Entahlah, Ika rasa tak sihat pulak,” kata Shafiqa. Memang. Tiba-tiba sahaja dia merasa tubuhnya tidak bermaya dan lemah. Mungkin terkejut dengan apa yang berlaku.
Mazni segera bergerak menuju ke tempat Shafiqa. Telapak tangannya sudah melekap di dahi Shafiqa. Bulat matanya memandang Shafiqa.
“Ika demam ni. Ika buat apa semalam?” soal Mazni cuba berfikir sejenak.
Shafiqa tersenyum kelat. Entahlah, keluhnya. Mungkin dia berendam di dalam kolam renang semalam terlalu lama.
“Pergilah klinik. Nanti melarat lagi payah,” cadang Mazni lembut sambil mengusap rambut Shafiqa.
“Yalah,” balas Shafiqa sambil mengemas semula fail-fail yang di keluarkan tadi daripada kabinet belakang. “Akak tolong beritahu pada abang Is, ya.” Shafiqa bangun sambil memerhati sekeliling. Tidak tahu apa yang diperhatikan.
“Yalah. Ika jangan bimbang. Pergi klinik, jumpa doktor. Kalau doktor tak bagi MC, ambil EL aje. Nanti akak beritahulah Is. Ika kan isteri bongsu dia.” Sempat lagi Mazni mengusik Shafiqa.
Pantas tangan Shafiqa mencubit lengan Mazni yang masih berdiri disisinya. Geram sungguh apabila digelar isteri bongsu.
“Ika balik dulu, kak.”
Pantas Shafiqa melangkah keluar selepas mencapai beg tangannya. Sebenarnya dia tidak mahu bertembung dengan Iskandar. Entah mengapa dia merasa gementar, malu dan pelbagai rasa bergelora sendiri di dalam hatinya.
Nampaknya hubungannya dan Iskandar terpaksa dibataskan. Tidak boleh seperti dahulu lagi. Payahnya bila dia sudah mengetahui perasaan Iskandar terhadap dirinya. Begitu juga dengan Raiyan. Nampaknya dia perlu pergi jauh dari dua lelaki itu.
Tetapi bagaimana? Dia bekerja di bawah tangan Iskandar dan Raiyan jurutera di bangunan yang dilakarnya. Aduhai... Pening-pening, keluhnya sendiri.
Terasa air dari hidungnya hendak meleleh, kelam kabut dia mencari tisu di dalam beg tangan. Itulah yang paling tidak disukai.
Terkejut dia dengan bunyi telefon bimbit yang mengeluarkan irama sebaik hendak menghidupkan enjin keretanya. Dia mengeluh berat apabila melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya.
“Assalammualaikum.” Suara macho Raiyan bergema mengucap salam.
“Waalaikumusalam,” jawab Shafiqa perlahan.
“You tak sihat ke?” soal Raiyan ingin tahu.
“Mana you tau?” soal Shafiqa pelik.
“Tadi I call office, dia orang cakap you baru balik mungkin nak ke klinik.”
Shafiqa mengangguk-anggukkan kepalanya seolah-olah Raiyan.
“Biasalah... ada hari kita sihat, ada hari kita sakit,” lirih suara Shafiqa. Tiba-tiba dia merasa sedih. Orang lain kalau sakit ada ibu dan ayah untuk menjenguk atau melihat mereka. Tetapi dia? Ah... sepatutnya dia bersyukur kerana Shafiq sentiasa ada disisinya.
“Kenapa ni?” soal Raiyan mungkin dapat menggesan sesuatu pada nada suara Shafiqa.
“Tak ada apa-apa,” jawab Shafiqa disusuli tawa yang dibuat-buat bagi menutup rasa sedih di hati. “Okeylah I nak pergi klinik ni.” Sengaja dia ingin menamatkan perbualan itu agar tidak menyimpang kearah lain pula. Cukuplah dengan ‘hadiah’ yang diterima semalam daripada lelaki itu.
“Yalah, anything you call me, ya?” pesan Raiyan sebelum mengakhir perbualan mereka.
“Ya.” Itu sahaja yang mampu diucapkan. Sebaik mematikan telefon bimbitnya, terus Shafiqa memecut keretanya menuju ke klinik panel Archkey Sdn Bhd yang terletak di Jalan Pudu.

0 berkata:
Post a Comment