UNTUK MAKLUMAN...

SEMANGAT...

Jan 21, 2012

Kisah IS dan IKA 9

Selepas menghantar Shafiq ke pejabat dia terus memandu pulang ke kondonya. Sebaik kereta di parkir di petak biasa, kepalanya disandarkan di tempat kepala kerusi kereta untuk melepaskan lelahnya setelah memandu hampir tiga jam. Mata dipejam sejenak.

Dia benar-benar berhutang budi kepada Haji Samad dan Sahlan yang sudi membantu untuknya dalam menijau proses pembinaan rumahnya kelak. Kayu-kayu yang dibekalkan oleh teman Raiyan yang bernama Megat sudah sampai sehari sebelum dia dan Shafiq pulang ke kampung.

Mata dibuka kembali. “Harap-harap semuanya okey,” katanya sendiri sambil menarik beg tangannya yang terletak di tempat duduk sebelah.

Dia terpaksa pulang minggu hadapan untuk bertemu dengan kontraktor yang akan diperkenalkan oleh Sahlan kelak. Dia berharap segala-galanya berjalan dengan lancar dan baik.

Pantas dia memboloskan dirinya keluar dari kereta. Apa yang diinginkan ketika ini adalah tidur sepuas-puasnya. Esok dia perlu menumpukan sepenuh perhatiannya kepada tugas-tugas yang masih banyak. Terasa kerjanya semakin banyak, terutama berhubung dengan pihak-pihak berwajib yang terlalu banyak kerenah birokrasi. Sabar sahajalah. Nampaknya dia tidak ikhlas dalam melakukan tugas-tugasnya. Tetapi dia suka dengan kerjanya sekarang. Ia menjadi satu kepuasan apabila melihatkan hasilnya.

Tidak sedar kakinya sudah pun melangkah keluar daripada lif di tingkat enam. Terkejut dia melihat Ashila sedang mencangkung di tepi pintu sebaik dia melangkah menuju ke pintu rumahnya.

Ashila bangun perlahan-lahan dengan wajah sugulnya. Tidak seperti selalu.

“Ika!” dia meluru mendapatkan Shafiqa. Dipeluk Shafiqa dengan erat sambil menghamburkan air matanya. Terlupa dengan apa yang telah dilemparkan kepada Shafiqa beberapa minggu yang lalu.

Kaget Shafiqa dengan reaksi Ashila. Beg tangan, beg sandang dan palstik yang mengadungi baju kotor jatuh bertaburan di lantai. Begitu pun dipeluk Ashila dengan erat. Walau apa pun Ashila tetap temannya dunia dan akhirat. Dia sayangkan Ashila sebagaimana dia menyayangi Shafiq.

“Kenapa ni?” soal Shafiqa ingin tahu. Rambut panjang Ashila diusapnya. Apakah masalah gadis itu kini? Soalnya sendiri.

Ashila tidak menjawab tangisan yang kedengaran di ruang itu.

“Dah, tak elok menangis macam ni. Kita masuk ke dalam dulu,” pujuk Shafiqa lembut sambil merenggangkan tubuhnya daripada Ashila.

Ashila meleraikan pelukannya dan menganggukkan kepalanya. Seketika dia terus mengekori Shafiq menuju ke ruang tamu.

“Kau relaks dulu, okey,” pujuk Shafiqa sambil membawa Ashila ke sofa dan menyuruh gadis itu bertenang. “Aku nak solat dulu. Kalau kau nak minum atau makan, tengoklah dalam fridge, ya.” Shafiqa memandang Ashila yang masih berair matanya.

Sekali lagi Ashila mengangguk.

“Pergilah. Aku tunggu kau,” suruh Ashila kepada Shafiqa.

Shafiqa mengangguk-angguk dan melangkah perlahan menuju ke biliknya. Sebaik melihat Ashila di hadapan pintu rumahnya tadi, dia dapat merasakan sesuatu yang kurang selesa akan disampaikan oleh Ashila kepadanya.

Solatnya tidak khyusuk. Rasa ingin tahu menumbuk-numbuk di sudut hatinya. Dadanya semakin berdebar-debar sebaik melangkah ke pintu bilik untuk bertemu semula dengan Ashila.

Dia berhenti di ambang pintu biliknya. Menghela nafasnya sebagai bersedia untuk mendengar cerita Ashila. Apa berita yang ingin disampaikan oleh temannya itu?

“Kau dah makan?” soal Shafiqa lalu duduk tidak jauh daripada Ashila.

Ashila menggeleng-gelengkan kepalanya. Air matanya kembali bergenangan di pipi.

“Kenapa ni?” soal Shafiqa semakin resah.

“Ika, aku mengandung,” cetus Ashila dan air matanya kembali mengairi pipi.

“Apa?!”

0 berkata:

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...