SEMANGAT...

Feb 1, 2012

Kisah IS dan IKA 14


DESIGN lama! Abang tak suka design macam ni, Ika buat balik!” tingkah Iskandar sambil mencampak kertas lakaran yang dibuat oleh Shafiqa sejak beberapa hari yang lalu. “Mana specification? Abang nak tengok specificationnya dulu,” tegas Iskandar tanpa memandang Shafiqa yang memandangnya.

Kenapa dengan Iskandar ni? Soalnya sendiri. Geram dia dengan sikap Iskandar yang tiba-tiba sahaja berangin tidak menentu. Apakah ada kesilapan dalam lakarannya kali itu? Dia menarik kertas yang dicetak semalam.

Pelik. Ketika dia menunjukkan lakaran itu kepada Encik Zakey semalam, tidak pula Iskandar memberi sebarang komen di hadapan ayahnya. Encik Zakey berpuas hati dengan lakaran yang dibuatnya.

“Nanti Ika emel pada abang spec tu,” balas Shafiqa dengan nada sedikit keras.

Direntap kertas tadi dan terbias bunyi kasar daripada kertas itu. Pantas Dia melangkah keluar daripada bilik Iskandar dan menuju ke biliknya.

“Intan!” jerit Iskandar.

Dia berpaling ketika mendengar suara Iskandar menjerit memanggil Intan. Kelam kabut Intan masuk ke dalam bilik bosnya.

“Kan semalam lagi I dah minta you buat kan?” lantang suara Iskandar memarahi Intan sehingga kakitangan lain tertanya-tanya sendiri.

Apa yang tak kena dengan Iskandar ni? Mabuk agaknya? Atau datang bulan. Dari tempatnya dia dapat melihat Muzaffar keluar dari biliknya. Mungkin sedang bercakap di talian sampai menarik gagang telefonnya ke pintu. Kemudian dia melihat Intan terkocoh-kocoh keluar daripada bilik Iskandar dan duduk di tempatnya semula. Sedikit pemandangan yang melucukan.

Kedengaran ketukan di sebelah dindingnya.

“Ya kak?” soal Shafiqa sedikit keras. Dia faham sangat dengan isyarat sebegitu. Tentu Mazni ingin tahu kenapa Iskandar marah-marah sejak dua menjak itu.

“Kenapa dengan abang Ika tu?” soal Mazni seperti berbisik.

“Entahlah, ika pun tak tahu,” keluh Shafiqa lalu menongkat kepalanya menatap pelan yang disiapkan dua hari lepas. Pening kepalanya melihat lakaran yang ditolak oleh Iskandar tadi. Semalam tidak pula lelaki itu kompelin tentang lakarannya di hadapan Encik Zakey.

“Mesti ada sesuatu ni, kan. Tetapi boleh pulak dia ketawa-ketawa di telefon,” kata Mazni.

“Orang gila memang macam tu!” kutuk Shafiqa dengan rasa marah dan bengang.

Letih dia dengan situasi itu. Apa yang tidak kena dengan Iskandar ni? Soalnya lagi. Rasa geram, hendak marah dan penat berbaur di hatinya. Tak boleh jadi, detiknya sendiri.

Shafiqa bangun dan melangkah menuju ke bilik Encik Zakey dengan kertas pelan di tangan. Memang dia tidak puas hati. Mengapa semalam Iskandar tidak mahu memberitahunya di hadapan Encik Zakey? Lelaki itu sudah pun bersetuju dengan sketch drawingnya sebelum itu dan Iskandar pula menyuruhnya melakukan semula. Dia sendiri tidak faham dengan arahan Iskandar.

Bulat mata Mazni melihat Shafiqa menuju ke bilik Encik Zakey. “Habis!” katanya sendiri.

RAHANG Iskandar bergerak-gerak menahan rasa marahnya dengan tindakan Shafiqa yang memberitahu kepada ayahnya yang dia mahu menukar pelan yang sudah dipersetujui semalam. Tancap matanya menjamah setiap inci wajah Shafiqa yang sedang menerangkan tentang pelan yang dibentangkan oleh gadis itu di hadapan ayahnya.

“Is?” soal Encik Zakey dengan dahi berkerut sebaik mendengar penerangan Shafiqa. “Apa yang tak puas hati lagi?” Matanya menatap wajah Iskandar.

“Design lama, ayah!” selar Iskandar menjeling tajam kepada Shafiqa yang memandangnya. Tangan yang bersilang di dada diketatkan. Mengadu! Dengusnya sendiri.

Encik Zakey kembali menatap pelan yang masih terbentang di atas mejanya. Lama dia menelek setiap inci rekaan yang dibuat oleh Shafiqa.

“Apa yang lamanya? Kan Is yang pinta Ika buat macam ni sebelum ni?” Encik Zakey kembali merenung wajah Iskandar yang masih berdiri di hadapannya.

Terasa dirinya ditampar dengan kata-kata ayahnya sendiri. Sekali lagi dia menjeling Shafiqa yang memandangnya. Jaga kau, Ika, rasa marahnya membara dan terasa hangat seluruh tubuhnya.

“Apa masalahnya ni?” soal Encik Zakey lalu menggulung semula pelan tadi. “Is? Ika?” matanya silih berganti memandang keduanya.

“Ika tak ada masalah uncle,” pantas Shafiqa menjawab bagi pihak dirinya dengan matanya melirik kepada Iskandar yang masih tergak berdiri di hadapan meja Encik Zakey. “Abang Is tu yang bermasalah,” cebik Shafiqa dengan jelingan tajamnya

Ya Allah, si Ika ni! Kurang asam sungguh Shafiqa ni, kutuknya sambil terus menyimpan rasa bengang dan marah.

“Is?”

Iskandar senyap tetapi matanya masih tidak lepas dari memandang Shafiqa yang sudah kalut sendiri dengan renungan tajam lelaki itu.

“Kalau ada apa-apa yang tak kena bincang secara matang. Masalah peribadi ketepikan. Kerja, kerja. Jangan nak serang orang disebabkan masalah peribadi antara kau orang berdua. Ayah tak suka bekerja macam ni,” tekan Encik Zakey kepada kedua mereka.

Shafiqa mengangguk-anggukkan kepalanya. Iskandar senyap dan terus menyimpan rasa sebal dan marahnya terhadap Shafiqa.

“Faham?” lantang suara lelaki itu memandang keduanya silih berganti.

“Faham uncle,” jawab Shafiqa seperti seorang anak kecil yang baru dimarahi.

Encik Zakey beralih memandang Iskandar yang tidak memandangnya. “Is?”

“Is tahu apa yang Is buat ayah...” balas Iskandar. Terasa dirinya diperbudak-budakan kerana tindakan Shafiqa yang mengadu kepada ayahnya sebentar tadi. Mahu sahaja diketuk kepala gadis itu.

“Macam perangai budak-budak,” cemuh Encik Zakey sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. “Tak perlu nak tukar apa-apa pada pelan tu Ika. Kalau Is nak tukar, suruh dia tukar sendiri. Dah...” katanya agar keduanya beredar dari biliknya. Dia menyandarkan tubuhnya di badan kerusi.

Shafiqa segera beredar bersama gulungan pelan tadi. Diikuti oleh Iskandar.


“IKA!” jerit Iskandar yang berdiri di muka pintu biliknya memandang kepada Shafiqa.

Shafiqa yang baru sahaja hendak melabuhkan punggungnya di kerusi menjengahkan mukanya memandang Iskandar.

“Masuk sekejap abang nak cakap!” keras suara Iskandar mengarahkan gadis itu masuk ke biliknya. Tanpa menunggu persetujuan Shafiqa dia terus duduk di meja kerjanya.

Shafiqa senyap dan terus melangkah masuk ke dalam bilik Iskandar sambil diperhatikan oleh Mazni dan Intan. Pintu ditutup.

Ini mesti nak berperang lagi, bisik Mazni sendiri apabila melihat wajah Iskandar sudah kelat tanpa senyuman tampan yang biasa diberikan kepada sesiapa sahaja di situ.

“Pisttt...”

Mata Mazni beralih kepada kepada Intan yang sedang memandangnya dengan wajah berkerut-kerut.

“Kenapa?” soal Mazni.

“Dia nak bergaduh agaknya,” kata Intan dengan suara yang ditahan-tahan. Mungkin takut didengari oleh orang lain.

Mata Mazni beralih kepada Intan. Dia mengangkat kening seperti bertanya. Keduanya mula bermain bahasa isyarat. Kemudian Mazni menggeleng-gelengkan kepala. Tidak tahu apakah punca keduanya berperang sebegitu hebat sekali kali ini.

Dum!

Pintu Iskandar ditutup dengan kuat oleh Shafiqa yang keluar dengan wajah sudah mencuka. Masing-masing memandang Shafiqa yang sudah melangkah ke tempatnya. Muzaffar sekali lagi keluar sambil memandang Shafiqa dengan penuh kehairanan.

Shafiqa mencampak kertas lakaran tadi di kabinet belakang lalu menarik beg tangannya. Laju langkah Shafiqa menuju ke pintu dan hilang dari pandangan mata mereka.

“Kenapa tu?” soal Muzaffar yang sudah pun berdiri di hadapan meja Mazni.

“Aku tak digaji untuk jaga personal orang, ya.”

Mazni bangun dan melangkah masuk ke tempat Shafiqa. Dia pasti sangat gadis itu tidak akan masuk ke pejabat lagi. Jam pun sudah menunjuk ke pukul 4.24 petang. Dia mengemas bilik kecil bosnya sambil menutup komputer Shafiqa yang masih terpasang.

“Amboi sambongnya,” selar Muzaffar lalu melangkah meninggalkan tempat di situ.

Dia memandang Iskandar yang keluar menjinjing beg komputer ribanya sambil menutup pintu biliknya selepas menutup lampu.

“Nak ke mana?” soal Muzaffar kepada Iskandar.

“Balik!” jawab Iskandar sepatah dengan keras dan terus melangkah tanpa pamitan.

“Kenapa dengan semua orang hari ni?” soal Muzaffar sambil menggaru-garukan kepalanya.

0 berkata:

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...