SEMANGAT...

Feb 2, 2012

Kisah IS dan IKA 16


“KAU ni beratlah Ika,” kompelin Intan yang memimpin Shafiqa mendaki tangga menuju ke pejabat mereka. Walaupun sudah pukul 8.15 malam, masih ada beberapa orang draughtsman dan arkitek lain yang bekerja. Sebentar tadi dia melihat kereta Iskandar juga ada di tempat parkir biasa.

“Boleh Intan?” soal Muzaffar di bawah yang baru sahaja hendak naik.

“Boleh tu boleh, tapi Ika ni berat macam anak gajah. Badan kecik.” komen Intan lagi dengan sengihan di bibirnya.

“Kau ni tolong aku, ikhlas ke tidak? Asyik kompelin tak habis-habis dari tadi.” Balas Shafiqa bengang dengan bebelan Intan.

Terasa menyesal dia mengikut teman-teman pejabat bermain futsal. Itulah pertama kali dia bermain futsal. Memang benar kata Salwani tadi, dia kaki bangku, tidak pandai menyepak bola. Sebelum itu kasutnya melayang dan hampir-hampir terkena Muzaffar. Malu sungguh. Dia dijadikan bahan ketawa oleh teman-temannya tadi.

“Ikhlas tapi jauh.” Intan ketawa dihujung kata-katanya sambil menolak pintu pejabat.

Iskandar yang baru keluar dari pantri memandang mereka. Berkerut dahinya memandang kepada Shafiqa yang sedang dipimpin oleh Intan menuju ke tempat gadis itu.

“Apa hal pulak ni?” soal Iskandar sambil meletak muk di atas meja Mazni. Bergegas dia mendapatkan Intan dan Shafiqa. Kini tangan Shafiqa sudah berada di bahu Iskandar pula.

Terpinga-pinga Shafiqa tubuhnya ditarik oleh Iskandar.

“Nak ke mana pulak ni?” soal Shafiqa memandang Iskandar yang begitu rapat dengannya dan sedang memandangnya.

“Bilik abang,” jawab Iskandar. Dan dirinya diheret masuk ke bilik lelaki itu diiringi Muzaffar dan Intan di belakang mereka. “Kenapa ni? Patah?” soal Iskandar.

“Terseliuh,” jawab Muzaffar sepatah yang menuruti langkah Iskandar dan Shafiqa ke bilik Iskandar.

“Macam mana boleh jadi macam ni?” soal Iskandar sedikit tegang kemudian memandang Shafiqa yang memandangnya.

“Habis... dah kaki bangku, mestilah patah,” usik Intan diiringi ketawanya lagi.

“Kau ni memang jahat tau,” marah Shafiqa. Geram sungguh dia dikata kaki bangku oleh Intan sejak tadi.

Iskandar meletaknya disalah sebuah sofa yang ada lalu duduk berdekatan dengannya sambil tersenyum lebar memandangnya. Mahu sahaja ditampar wajah kacak yang sudah ketawa-ketawa mendengar cerita Muzaffar dan Intan tentang dirinya yang pertama kali bermain futsal.

“Aku ingatkan bola. Intan dah menjerit-jerit kata itu kasut Ika,” tambah Muzaffar lagi.

Intan dan Iskandar ketawa mendengar cerita pendek Muzaffar.

“Eee... jahat korang ni.” Marahnya. Sakit hatinya melihat tawa Iskandar yang seperti mengejeknya. Selepas ini jangan haraplah dia hendak mengikut mereka bermain futsal lagi.

Seketika Intan meminta diri untuk pulang. Teman lelaki sedang menunggu di bawah.

“Budak ni macam mana Is? Kau nak hantar dia balik atau aku nak hantar dia?” soal Muzaffar memandang Iskandar yang berdiri sambil bersandar di mejanya. Tali lehernya sudah dilonggarkan sementara lengan bajunya berlipat sehingga ke siku.

“Ika boleh balik sendirilah!” kata Shafiqa sedikit keras. Rimas! Terasa dia membebankan mereka. Dia bangun tetapi duduk semula apabila terasa sakit dan berdenyut-denyut ketika kakinya memijak lantai. Kaki kanan pulak tu, desisnya sendiri. Eee... menyesalnya dia mengikut mereka bermain futsal.

“Tulah, derhaka lagi pada abang,” usik Iskandar.

Muzaffar ketawa dan bangun. Shafiqa menjeling Iskandar yang tersengih memandangnya.

“Tak apa aku hantar dia balik nanti.” Iskandar masih memandang Shafiqa yang sedang mengurut-urut buku lalinya.

“Ika boleh balik sendirilah!” tingkah Shafiqa sekali lagi dengan rasa geram. Dia bangun, walaupun terasa sakit cuba juga dia berjalan keluar dari bilik Iskandar menuju ke tempatnya.

Iskandar hanya menggeleng-geleng sendiri. Degil, desisnya. Dia mengikut langkah Shafiqa begitu juga dengan Muzaffar.

“Aku balik dulu Is.” Muzaffar menepuk bahu lelaki itu sesampainya di tempat Shafiqa.

“Haa... yalah,” balas Iskandar sambil mengangkat tangannya memandang Muzaffar yang sudah pun hilang di sebalik pintu.

“Abang hantar balik,” tegas Iskandar.

“Habis, kereta Ika tu macam mana?” soal Shafiqa. Masakan dia hendak tinggalkan keretanya begitu sahaja. Sudah banyak kejadian mencuri kereta di kawasan itu

“Nanti abang letak dekat depan kedai mamak ni. Kan dia orang buka dua puluh empat jam. Lagipun kereta Ika tu dia orang dah kenal sangat. Nanti abang minta Abang Mamat tow truck tu clamp tayar kereta Ika,” jelas Iskandar.

Shafiqa senyap. Dia tahu beberapa orang kakitangan Archkey Sdn Bhd selalu berbuat begitu kalau mereka terpaksa berpergian untuk sesuatu tugas. Kereta-kereta mereka akan di letak di hadapan kedai mamak dan meminta Abang Mamat Tow Truck yang mempunyai bengkel keretanya clamp kereta mereka. Dan sudah tentu sedikit upah akan diberikan kepada lelaki tersebut.

“Ika kemaskan barang-barang dulu, abang nak solat isyak sekejap,” kata Iskandar mula melangkah meninggalkan Shafiqa di situ.

Shafiqa senyap menghela nafasnya. Kenapa lelaki itu tidak pernah mahu menjauhkan diri darinya? Sudah berpuluh-puluh kali dia memberitahu yang dia tidak dapat menerima Iskandar. Tetapi lelaki itulah yang akan sampai dahulu dalam susah dan senangnya. Eee... dia mulai tidak suka dengan apa yang dirasakan kini.

0 berkata:

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...