SEMANGAT...

Feb 3, 2012

Kisah IS dan IKA 17


Kenapa Ika ni degil sangat. Abang cuma bimbang kan Ika. Tengok apa jadi pagi tadi. Kalau abang Muz tak datang dan tak beritahu abang, entah apa jadi pada Ika, tau tak,” Iskandar sudah membebel panjang. Geram sungguh dia apabila Shafiqa menolak cadangannya untuk membawa ke rumah orang tuanya.

Shafiqa senyap membenarkan kata-kata Iskandar tetapi dia masih tidak mahu dibawa ke rumah Encik Zakey dan Puan Razita. Dia pasti sangat wanita itu akan menahannya untuk seminggu lagi tambahan dengan keadaannya yang sedikit kurang upaya.

Iskandar memandang sekilas Shafiqa yang masam mencuka. Rambutnya diikat tinggi dan tidak berapa kemas dan terurus memberi wajah yang berlainan, begitu pun gadis itu tetap cantik dan manis di matanya.

“Okeylah, abang hantar Ika balik.” Akhirnya dia terpaksa mengalah dengan sikap degil Shafiqa.

Yahoo... balik rumah! jeritnya sendiri dengan rasa lega dan gembira.

“Bagi kunci rumah Ika. Abang nak buat pendua.” Iskandar menghulur tangannya meminta kunci rumah gadis itu. Dia mahu membuat pendua, agar senang untuknya masuk kalau terjadi apa-apa seperti pagi tadi.

Bulat mata Shafiqa memandang Iskandar. “Kenapa? Untuk apa?” soal Shafiqa walaupun dia tahu jawapannya. Bulat matanya menatap wajah Iskandar yang merenungnya tanpa senyuman.

“Abang tak larat asyik nak jadi spiderman aje tau!” keras suara Iskandar yang sudah bercekak pinggang.

Lama mereka berpandangan dan akhirnya terpaksa juga dia menyerahkan kunci rumahnya. Iskandar keluar dan melangkah ke sebelah klinik di mana ada sebuah kedai kunci di situ.

Boleh percayakah dia terhadap lelaki itu? Dia semakin bingung dengan situasi yang sedang dihadapi. Eee... mengapalah pergi bodoh main futsal. Kalau tidak, kakinya tidak akan jadi begini dan Iskandar tak perlu jadi spiderman menyelamatkannya.

Dia memandang lelaki itu yang sedang berdiri di hadapan kedai kunci sambil berbual di talian, mungkin menunggu kunci pedua yang sedang dibuat oleh tauke kedai itu. Lama dia memandang Iskandar dan cuba membandingkan dengan arwah Raiyan. Kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing.

Dia memejamkan matanya sambil menyandarkan kepalanya di kepala kerusi. Wajah Raiyan sentiasa segar diingatannya. Bukan mudah untuknya membuang wajah itu. Menghela nafasnya. Cuba dibenam rasa sedih itu jauh-jauh. Dia tidak mahu bersedih lagi, cukuplah. Ya, dia harus kuat menerima dugaan yang telah diberikan. Dia tahu, Allah menduganya sebegitu kerana dia mampu untuk mengharunginya.

Pandangannya beralih kembali kepada Iskandar. Lelaki itu bukan tidak kacak, tetapi entah mengapa hatinya begitu berat untuk menerima Iskandar yang sudah dikenali seusia persahabatannya dengan Ashila. Cuma mereka agak rapat sejak dua tiga tahun itu. Mungkin disebabkan tugasnya dan dia diletakkan di bawah tangan Iskandar.

“Aduh!” terasa sakit di buku lalinya apabila dia cuba menggerak-gerakkan kakinya.

“Kenapa pulak tu?” soal Iskandar yang tiba-tiba muncul. Dia menghulurkan kunci tadi kepada Shafiqa. Sementara kunci yang baru siap sebagai penduanya disimpan di dalam poket seluarnya.

“Tak ada apa-apa.” jawabnya lalu menyimpan kunci itu ke dalam beg tangannya.

“Ika nak makan apa?” soal Iskandar ingin tahu.

“Kena makan ke?” soal Shafiqa. Dia ingin segera pulang.

Iskandar mendengus kasar. “Spiderman pun lapar juga,” tegang suara Iskandar mendengar kata-kata Shafiqa.

“Ika nak makan apa?” soal Iskandar sekali lagi dengan nada yang sedikit tinggi.

Amboi, marah nampak? Gumam Shafiqa sedikit jelak. “Nasi campur.” Serasanya dia tidak perlu menyatakan apa lauk yang diinginkan sebab Iskandar sudah tahu apa yang dia suka.

“Hmm...” itu sahaja jawapan Iskandar sebelum menghempas pintu keretanyanya.

Terkejut Shafiqa itu. “Eee... mabuk!” cemuhnya dengan rasa sebal.

0 berkata:

LINK

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...