
KEDATANGANNYA disambut mesra oleh Puan Razita. Melihatkan kereta Iskandar berada di tempat parkir dia dapat mengagak pukul berapa Iskandar sampai selepas temu janjinya tadi. Entah mengapa dia merasa begitu berat hendak ke situ.
“Lambat balik,” sapa Puan Razita selepas Sahfiqa menyalaminya. “Macam ni ke selalu?” soal Puan Razita ingin tahu memandang si menantu tanpa jemu.
Shafiqa tersengih cuma. “Kalau bos minta siapkan kerja cepat, terpaksalah buat cepat tetapi balik lambat,” jelas Shafiqa tidak tahu apakah itu jawapan yang tepat untuk soalan Puan Razita. Tentu wanita itu tahu, suaminya seorang arkitek begitu juga dengan Iskandar dan arwah Ashila dahulu.
“Kerja, kerja juga. Suami kena juga tengok,” nasihat wanita lembut sambil memaut lengan Shafiqa mengajak gadis itu ke ruang tamu.
Lain macam aje nasihat perempuan ni, desisnya sendiri. Hmm... lebih baik dia senyap sahaja.
“Ika tak rasa apa-apa ke?” soal Puan Razita lagi.
Pelik pula soalan ibu mertuanya. “Apa-apa tu apa?” soal Shafiqa tidak dapat menangkap maksud Puan Razita.
Giliran Puan Razita pula tersengih
“Tak apalah. Ika pergi mandi, solat. Lepas tu kita makan bersama,” suruh Puan Razita menyuruh Shafiqa melupakan soalannya sebentar tadi.
Peliknya. Cuba disimpulkan soalan tadi dengan sikap wanita itu. Namun dia tidak dapat mengagak apa yang ingin disampaikan oleh ibu mertuanya itu. Atau wanita ini mengharapkan yang dia sedang...
“Ika?”
Terkejut dia apabila bahunya ditepuk oleh Puan Razita. Matanya beralih ke wajah wanita itu tanpa senyuman. Wanita ini masih menaruh harapan untuk mendapatkan ‘cucu’.
Astaghfirullah al’azim, dia mengurut dadanya beberapa kali.
“Kenapa Ika? Sakit ke?” soal Puan Razita lalu memegang tangan Shafiqa. Mungkin pelik melihat reaksi Shafiqa.
“Err... tak ada apa-apa ibu. Ika terkejut tadi.” Sedar dengan reaksi yang membuat wanita itu tertanya sendiri. Dia tersengih sebagai menutup apa yang membuat dadanya berdebar-debar.
“Beranganlah tu,” sampuk Iskandar yang tiba-tiba muncul di anak tangga dari tingkat atas. Bibirnya mengulum senyuman mengusik.
Shafiqa menjeling. Iskandar kelihatan segar selepas mandi. Biarpun baju yang dipakai agar ringkas penampilannya tetap bergaya. Dadanya kembali berdegup mengingatkan kejadian beberapa hari yang lalu. Cuba dihapuskan dari ingatannya.
“Pergilah mandi, solat... lepas tu kita makan, ya,” suruh Puan Razita sekali lagi.
Shafiqa mengangguk sambil memandang kepada Iskandar yang sudah melangkah dan duduk sofa yang tidak jauh dari tempatnya berdiri.
“Jangan mandi lama sangat.”
Pesanan Iskandar membuat langkahnya terhenti. Dia berpaling memandang Iskandar yang memandangnya dengan senyuman.
Sibuk sungguh lelaki ni, dengusnya dengan rasa bengkak di hati. Kakinya terus melangkah naik menuju ke bilik Iskandar. Dia berharap tiada apa-apa yang mengejutkannya kelak.
Langkahnya terhenti di hadapan pintu bilik Iskandar sambil memegang tombol pintu bilik dan memandang pintu bilik Ashila. Kembali rindu terhadap arwah temannya itu menggamitnya kembali.
Bagaimana agaknya kalau Ashila masih hidup? Kalau Raiyan masih hidup? Di manakah dia ketika ini? Adakah dia akan berkahwin Raiyan? Bagaimana dengan Ashila setelah Jamal menipu dirinya? Terjadikah perkahwinannya dengan Iskandar? Adakah mereka akan berpapasan sesama sendiri di situ?
Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni? Dihantukkan kepalanya di daun pintu bilik Iskandar. Terasa senak kepalanya memikirkan perkara yang tidak mungkin akan terjadi namun hatinya pilu mengenangkan mereka-mereka yang sudah tiada di dalam hidupnya.
“Bawa bertenang, Ika,” pujuknya sendiri sambil menolak pintu bilik Iskandar. Terkejut dia melihat suasana bilik yang sedikit berubah dan harumannya adalah dari haruman lavender kegemarannya.
Cadar katilnya berlatar unggu dan merah lembut, begitu juga dengan langsirnya yang kelihatan segar sekali. Serasanya ia lebih cantik daripada biliknya di sana.
“Atau dia sengaja nak mengumpan?” soal Shafiqa sendiri. Aduhai... mengapalah dia suka bersangka buruk terhadap suaminya. Rasa di hati sudah ada tetapi begitu sukar untuk hatinya menghapuskan rasa yang tidak selesa. Apa yang tidak selesanya? Dia sendiri tidak faham dengan soal hatinya kini.
TERSENYUM sendiri sambil matanya terus menghantar tubuh si isteri sehingga hilang dari pandangannya. Dia tahu Shafiqa sudah merasakan cintanya. Melihatkan reaksi Shafiqa yang tidak menentu apabila dia memandangnya sudah cukup membuatnya senang. Adakalanya dia merasa lucu melihat reaksi Shafiqa yang tidak menentu. Biarlah... desisnya sendiri. Kelak akan dilakukan lebih daripada apa yang dilakukan beberapa hari lepas.
“Apa yang senyum-senyum tu?” tegur Puan Razita melihat Iskandar yang senyum memandang Shafiqa yang meniti anak-anak tangga menuju ke tingkat atas sebentar tadi.
Kaget Iskandar sebaik disapa oleh wanita itu. Dia terlupa tentang ibunya yang masih berada di situ.
“Kenapa ni? Ini mesti ada apa-apa kan?” soal Puan Razita segera mendapatkan Iskandar lalu memegang lengan anak itu. “Dah ada apa-apa?” soal wanita itu sekali lagi.
“Apa yang ada, ibu?” soal Iskandar pura-pura tidak faham. Nak ada apa-apa, kalau dia dah Shafiqa tidak sebilik? Dengusnya sendiri. Begitupun bibirnya sentiasa menyimpul senyum.
“Habis tu, yang senyum-senyum ni?” Puan Razita seperti tidak puas hati dengan jawapan Iskandar. “Janganlah malu-malu. Beritahulah ibu, Is,” gesanya dengan rasa tidak sabar.
Iskandar ketawa mendengar kata-kata Puan Razita. Kepalanya digeleng-gelengkan.
“Apa yang Is nak beritahu kalau Ika masih tak ada apa-apa lagi,” jelas Iskandar menutup rasa terkilannya. Ya, dia juga mengharap sesuatu sebagai tanda cintanya terhadap Shafiqa.
Puan Razita mengeluh berat seolah-olah kecewa dengan jawapan Iskandar. Dia bangun dari duduknya perlahan-lahan melangkah ke dapur.
“Ibu!” panggil Iskandar. Dia faham dengan perasaan Puan Razita yang masih belum dapat menutup rasa kehilangannya terhadap Ashila. Mungkin sekurang-kurangnya apabila punya anak kecil rasa itu dapat dikabus dengan melayani anak kecilnya kelak.
“Is dah patut ada anak,” kata Puan Razita memandang kepada Iskandar yang menahanya perjalanannya menuju ke dapur.
Iskandar menghela nafasnya. Tunduk memandang tangannya yang memegang tangan wanita itu dengan erat.
“Insya-Allah. Ibu tolong doakan untuk Is dan Ika. Mungkin belum rezeki Is dan Ika lagi,” ucap Iskandar penuh harapan. Dia juga kalau boleh inginkan anak secepat yang mungkin. Mungkin kembar? Sebab Shafiqa kembar, tetapi dia tidak pasti dengan perkara itu. Yalah, kalau diizinkan oleh Allah, itulah harapannya. Tetapi bilakah situasi itu?
Puan Razita tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. “Ya, insya-Allah. Ibu sentiasa doakan Is dan Ika. Begitu juga untuk Ashila.” Suara Puan Razita mulai sebak.
“Ibu.” Iskandar memeluk Puan Razita dengan erat. Faham dengan perasaan wanita itu. Diusap lembut belakang Puan Razita.
Puan Razita menolak tubuh Iskandar lalu mengesat air matanya. “Dahlah... nak siapkan meja makan. Nanti lama pulak kita makan malam.” Puan Razita bergegas melangkah ke dapur.
Iskandar terus mengekori ibunya. “Ibu janganlah risau sangat, ya,” pujuk Iskandar. Entah mengapa dia merasa bimbang melihat reaksi Puan Razita sebentar tadi. “Insya-Allah kalau ada rezeki, adalah tu. Lagipun Is tak puas berdua dengan Ika,” jawabnya sebagai alasan untuk melegakan hati wanita itu.
“Janganlah lama-lama sangat Is. Ibu tak mahu jadi perkara yang sama. Tangguh punya tangguh, sampai kesudah tak ada anak. Akhirnya Tini cari lelaki lain. Ibu percaya Ika tak macam Tini. Baik mahu dengar kata orang tua. Memang ibu berkenan dengan Ika dari dulu lagi. Tapi Is tu dah terlampau miang sangat nakkan si Tini. Ibu nak buat macam mana,” keluh Puan Razita dengan apa yang dirasakan suatu ketika dahulu.
Iskandar senyap mendengar bebelan daripada Puan Razita. Terasa panas wajah dan telinganya menelan segala cerita lama yang sudah dilupakan. Aduhai... tak ada cerita lain yang lebih maniskah? Dia tahu, dia bersalah. Tetapi janganlah terus-terusan dia dipersalahkan.
“Ibu tak mahu Ika terlepas ke tangan orang lain. Ibu percaya Is dan Ika boleh bahagia. Dan sebab itu ibu...” kata-kata Puan Razita terhenti di situ. Dia menoleh memandang Iskandar yang sedang memandangnya. Cemas.
“Sebab apa, ibu?” soal Iskandar ingin tahu. Dia menghampiri Puan Razita yang memandangnya.
“Tak ada apa-apalah.” Puan Razita menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali. Langkahnya dijauhkan menuju ke kabinet untuk mengambil pinggan-pinggan makan.
“Ibu?” Pantas Iskandar memegang lengan wanita itu. “Ada apa-apa yang Is tak tahu ke?” soal Iskandar. Dia pasti sangat apabila mendengar kata-kata Puan Razita tadi.
“Ibu rasa perkara ni Is tak perlu tahu,” balas Puan Razita sedikit gementar.
“Kenapa Is tak perlu tahu kalau ia membabitkan Is?” soal Iskandar. Semakin melonjak-lonjak hatinya ingin mengetahui apa yang dia tidak tahu berkenaan dengan dirinya.
Puan Razita senyap. Tunduk memang lantai yang dipijak.
“Bukan maksud ibu nak memalukan atau mengaibkan sesiapa. Tetapi ibu sayangkan Ika seperti ibu sayangkan Ashi. Ibu tak mahu dia diambil oleh orang lain,” jelas Puan Razita memandang Iskandar. Matanya sudah dikaburi denganair mata.
Berkerut dahi Iskandar mendengar cerita wanita itu. Dia semakin tidak faham apa yang dimaksudkan oleh wanita itu.
“Apa maksud ibu?” soal Iskandar ingin tahu.
“Maafkan ibu Is,” pinta Puan Razita yang kini sudah memegang lengan anak sulungnya. Air matanya semakin lebat. “Maafkan ibu.”
Langkah Shafiqa terhenti sebaik melihat situasi kedua berada itu tidak gembira.
“Ibu... Cuba beritahu Is apa sebenarnya... Is tak faham,” desak Iskandar lagi. Hatinya tiba-tiba cemas. Cemas apabila ia berkaitan dengan Shafiqa. Dia tidak mahu isterinya itu sedih semula. Shafiqa baru sahaja pulih daripada traumanya. Dan dia tidak mahu Shafiqa terus dilanda rasa sedih yang berpanjangan. Dia tidak mampu untuk melihatkan kesedihan Shafiqa yang membuat dia turut bersedih.
“Maafkan ibu Is,” pinta Puan Razita untuk kesekian kalinya.
“Ibu jangan macam ni. Is tak tahu apa kesalahan ibu.” Iskandar semakin pening dengan kata-kata maaf daripada Puan Razita. Melihatkan air mata wanita itu pasti ia adalah perkara yang sukar untuk diterima oleh sesiapa sahaja.
“Ibu yang telefon pejabat agama, minta mereka buat serbuan di kondo Ika...” jelas Puan Razita memandang Iskandar.
Terkejut Iskandar mendengar pengakuan wanita itu. “Apa?!”
Shafiqa tergamam. “Tetapi kenapa?” soal Shafiqa terketar-ketar sebaik mendengar pengakuan Puan Razita. Bulat matanya memandang wanita itu.
Kedua beranak itu menoleh memandang Shafiqa yang berada di pintu masuk ke dapur. Tidak sedar bila Shafiqa berada di situ.
“Apa salah Ika? Kenapa ibu sanggup buat Ika macam tu?” soal Shafiqa dalam esakan yang ditahan-tahan.
“Ika...” Iskandar segera mendapatkan Shafiqa untuk memujuk isterinya. “Ika tak salah apa-apa,” ujar Iskandar lembut.
“Abang pun sama kan? Sengaja nak buat Ika malu,” tingkahnya sambil menolak tangan Iskandar yang hendak memegang bahunya.
“Bukan begitu Ika,” pinta Iskandar ingin menjelaskan perkara yang sebenar. Dia faham akan maksud Puan Razita tetapi cara wanita itu sudah membabitkan nama baik Shafiqa dan dirinya.
“Ika, maafkan ibu,” pinta Puan Razita.
Shafiqa menggeleng-geleng sendiri. Entah mengapa dia menolak kata-kata maafkan daripada Puan Razita. Hatinya hancur dengan pengakuan yang diucapkan oleh wanita itu sebentar tadi. Pantas langkahnya menuju ke ruang tamu lalu mengambil beg tangan.
“Ika...” Iskandar segera mengejar si isteri yang sudah melangkah dengan laju keluar daripada rumah. “Ika, jangan buat macam ni...” pinta Iskandar dengan harapan hati si isteri cepat sejuk.
Shafiqa tidak menoleh lagi. Dia ingin segera beredar meninggalkan tempat itu. Terasa ruang itu begitu sempit dan menghimpit tubuhnya. Mengapa dia diperlakukan begitu oleh mereka sekeluarga? Apa salahnya? Soalnya sendiri. Air matanya kembali berderai. Kenapa begini jadinya? Soalnya sendiri. Enjin kereta sudah dihidupkan tanpa berlengah terus dia meluncurkan keretanya menuju ke destinasi yang dia sendiri tidak pasti.
“Ika, jangan tinggalkan abang!” jerit Iskandar. Penuh dengan rasa kesal. Dia sendiri serba salah dengan apa yang dijelaskan oleh Puan Razita. Tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Dia hanya mampu memandang kereta Shafiqa yang kian menjauh ditelan kegelapan malam.
Puan Razita hanya mampu menangis melihat situasi itu.




2 berkata:
keras nye hati ikan dlm menilai cinta is pada die..
aduiii.....
cam ner ni...
ika dh lariiiiiikkkkkkkk
Post a Comment