Feb 18, 2012

Kisah IS dan IKA 26 (Terakhir)


EPILOG

Astaghfirullah al’azim!”

Shafiqa menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali melihatkan Iskandar yang sudah terbungkang tidur bersebelahan tilam kembar Danial dan Danish.

“Patutlah sepi,” dengusnya sendiri.

Danish berada di atas badan papanya manakala Danial yang sedang duduk dan menggoyang-goyangkan badannya ralit mengigit anak patung beruang hijaunya. Keduanya sudah berusia 8 bulan. Shafiqa memandang TV yang terbuka.

Hmm... patutlah si Danial menggoyang-goyangkan tubuhnya, entah penyanyi mana sedang bernyanyi. Dia tersengih melihat gelagat si comelnya yang tidak banyak ragam. Yang suka meragam adalah papanya.

“Ini siapa yang tidur. Anak ke papa ni?” soal Shafiqa sambil mencuit paha Iskandar beberapa kali. Geram pula dia melihat Iskandar begitu lena. Dia minta lelaki itu menjaga kedua kembar mereka, tetapi si Danial pula yang menjaganya.

“Haa...” terkejut Iskandar lalu memegang Danish yang berada di atas badannya.

“Siapa yang jaga siapa ni?” soal Shafiqa bengang. Memandang pintu gelangsar yang terbuka tetapi pintu besinya bertutup. Kedua anak itu sudah pandai merangkak dan sedang belajar hendak berdiri dan berjalan.

Terkulat-kulat Iskandar memandang Shafiqa kemudian tersengih.

“Bila masa budak ni panjat abang?” soal Iskandar kaget melihat anaknya sudah berada di atas badannya.

“Mana Ika tahu,” balas Shafiqa lalu menyuakan botol susu ke mulut Danial yang sudah ternganga-nganga sebaik melihat botol susunya. Dibaringkan Danial dengan hati-hati.

Iskandar meletak si comel itu di atas tilamnya semula. Dan kembali berbaring semula. Berkerut dahi Shafiqa melihat gelagat Iskandar.

“Abang ni asyik tidur aje,” rungut Shafiqa bengang melihat Iskandar kembali menutup matanya. Dia memegang hujung botol Danial yang sedang menghisap botol susunya.

“Tulah, Ika selalu kerja kan abang malam-malam,” balasnya dengan mata dipejam namun bibirnya mengulum senyum.

Astaghfirullah al’azim, laju jarinya mencubit paha Iskandar.

“Aduhai, sayang!” jerit Iskandar kerana kesakitan.

Danish yang sedang nyenyak, terkejut mendengar jeritan papanya dan mula bergerak-gerak memandang sekeliling kemudian merengek. Pantas Shafiqa menyuakan botol susu kepada anak itu. Seketika Danish mulai tenang sambil menghisap susunya.

“Rasakan.” Bengang sungguh dia dengan kata-kata Iskandar seolah-olah segalanya dia memulakan dulu.

Iskandar hanya tersengih lalu bangun dan duduk bersila sambil memandang si kembar yang sedang seronok menenguk susu yang dibuat oleh Shafiqa sebentar tadi.

Angin menderu masuk melalui pintu gelangsar yang terbuka. Rasa begitu segar sekali suasana petang yang tidak begitu panas. Langit pula kelihatan biru dan tenang. Sudah hampir tiga hari mereka di situ. Lusa mereka akan pulang ke Kuala Lumpur.

Encik Zakey dan Puan Razita akan pulang dua hari selepas itu daripada mengerjakan umrah.

“Esok Megat akan hantar kayu-kayu untuk buat gazebo,” kata Iskandar memandang kepada Shafiqa yang ralit mencuit-cuit pipi Danish dan kemudian ke pipi gebu Danial pula. Tersenyum dia melihat kembarnya yang semakin comel. Tangannya singgah di belakang Shafiqa dan mengusap lembut belakang isterinya.

“Ya?” Shafiqa memandang Iskandar yang memandangnya.

Iskandar mengangguk-angguk sambil memandang suasana rumah idaman si isteri. Inilah hadiah untuk si isteri sempena harijadi Shafiqa yang ke 29 beberapa bulan yang lalu. Padanya hadiah yang paling bermakna adalah si kembar yang berada di hadapannya kini.

Ia adalah anugerah yang paling bermakna sekali. Inilah hasil cinta dan kasih sayangnya dan Shafiqa. Iskandar mencium kepala Shafiqa dengan penuh rasa cintanya. Setiap kali dia melihat Danial dan Danish, kasih dan cintanya bertambah-tambah terhadap Shafiqa.

“Abang nak letak di belakang. Menghadap sawah,” jelas Iskandar ingin tahu pendapat si isteri.

Shafiqa hanya mengangguk-angguk mendengar cadangan Iskandar. “Elok jugak,” kata Shafiqa lalu memandang Iskandar yang memandangnya.

Iskandar tersenyum dan terus memandang si isteri.

“Kenapa?” soal Shafiqa.

Terasa segan bila dipandang begitu. Entah mengapa sudah hampir dua tahun berkahwin dia masih segan dengan pandangan Iskandar. Kalau dahulu dia boleh memandang lelaki itu tanpa rasa... dan kini rasa itu sudah berisi.

“Abang bahagia,” ungkap Iskandar. Bahu Shafiqa dipeluknya.

Shafiqa senyap. Ya, dia juga, bisiknya sendiri.

“Abang nak.”

Sepontan Shafiqa memandang Iskandar. Betul atau tidak Iskandar ni. Dadanya berdebar-debar dengan pandangan lelaki itu. Pandangan itu penuh dengan pelbagai makna yang tersirat dan helah Iskandar.

“Err... abang nak apa?” soal Shafiqa gementar.

“Anak lagi,” jawab Iskandar dengan sengihan nakalnya.

“Abang ingat Ika ni operator pengeluaran?” soal Shafiqa sedikit bengang. “Tunggulah Danial dan Danish ni besar sikit,” kata Shafiqa lagi.

“Kembar ya.”

Bulat mata Shafiqa. Dibaling kusyen yang ada di situ kepada Iskandar yang sudah berlari menuju ke dapur.

4 berkata:

blinkalltheday said...

dah abes ke...sweet nding..

Aiqila fariz. said...

sweet endingnya..
best2...

Hashimah Hamid said...

Sweet! <3

mizz acu said...

sweet!! err..tp cmne dorang berbaek?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...