
KALAU tidak disebabkan panggilan telefon dari Tengku Manisah sebentar tadi memang dia akan berpura-pura lupa untuk mengikut kedua orang tuanya ke rumah Dato Johan dan Datin Fariza. Tengku Manisah menelefonnya malam tadi dan memaksanya agar datang ke rumah untuk pergi menghantar rombong Fendi ke rumah Nelly yang terletak di Subang Jaya.
Hujung minggu begitu dia lebih senang berada di rumah dan melayani puterinya. Cadangnya hendak membawa Tengku Ellyna ke Colmar ataupun Genting Highland untuk menghabiskan masa mereka hari itu. Mujurlah dia tidak memberitahu perkara itu kepada Tengku Ellyna kalau tidak pasti merengeklah puterinya.
“Siapa lagi yang pergi?” soal Tengku Manisah di dalam Bahasa Inggeris kepada Tengku Ritzman di sebelah Tengku Ritzlan yang memandu.
“Lokman dan Hanis,” jelas Tengku Ritzman sedikit mengeluh.
“Uncle Lokman dah balik?” sampuk Tengku Ritzlan memandang ayahnya sekilas. Bibirnya mengulum senyuman.
“Dah, dua hari lepas tak silap,” jelas Tengku Ritzman. “Esok-esok kita ke rumah Hanis. Dah berapa kali dia pesan suruh datang, ada oleh-oleh dari Mekah katanya,” kata Tengku Ritzlan mengingatkan pesanan adiknya Tengku Yuhanis yang baru pulang daripada menunaikan umrah.
Tengku Manisah senyap. Hatinya masih lawang kalau-kalau Tengku Yuhanis tiada di rumah Dato Johan. Siapa yang ingin dilawan bersembang. Terasa menyesal dia mengikuti suaminya.
“Kalau Hanis tak ada, saya balik,” kata Tengku Manisah tiba-tiba.
Tengku Ritzman menggeleng-gelengkan kepalanya. Sangkaannya topik itu sudah hilang. Bibirnya mengulum senyuman mengenangkan perangai si isteri seperti anak-anak. Tengku Ritzlan senyap dan hanya menjeling di cermin pandang belakang imej ibunya yang sudah memuncung tidak menentu.
“Siapa nak hantar?” soal Tengku Ritzman.
“Ritzlah, siapa lagi?” balas Tengku Manisah bengang. Sakit hatinya apabila Tengku Ritzman mendesak dan mengajaknya ke rumah Dato Johan untuk menghantar rombongan pertunangan antara Fendi dan Nelly.
“Subang Jaya dengan Ampang, jauh...” ujar Tengku Ritzman.
Tengku Manisah mendengus kasar sambil melontar pandang ke luar. Harap-harap Tengku Yuhanis dan Dato Lokman adalah, doanya sendiri.
“Kenapa balik tak beritahu?” soal Tengku Ritzlan. Bersinar-sinar matanya sebaik melihat Dato Lokman sudah berada di rumah Dato Johan. Dia terus memeluk bapa saudara kesayangannya itu.
“Tak mahu susahkan Ritz,” jelas Dato Lokman. Faham sangat dengan sikap Tengku Ritzlan yang begitu mengambil berat akan dirinya. “Ritz macam mana? Ellyna mana?” soal Dato Lokman matanya melingas mencari puteri Tengku Ritzlan yang agak lincah dan ligat. Tangannya diangkat membalas sapaan Tengku Ritzman yang sedang disambut oleh Dato Johan dan Datin Fariza.
“Sihat uncle. Ellyna di rumah. Majlis macam ni tak sesuai dengan dia. Dia tu bukan mahu diam,” jelas Tengku Ritzlan disusuli tawa kecilnya.
Dato Lokman ketawa apabila mengingatkan keletah puteri Tengku Ritzlan. “Biasalah, Ritz. Budak-budaklah kata kan,” katanya. Tiba-tiba hati sebak dan sayu mengenangkan dirinya. Di mana mereka semua? Soalnya sendiri. Dia mengeluh sambil mengesat mata yang hampir menurunkan air mata.
“Uncle okey ke?” soal Tengku Ritzlan sambil memegang lengan lelaki itu sebaik melihat lelaki itu tidak menentu.
Erat tangan Dato Lokman memegang tangan Tengku Ritzlan dengan senyuman melindungi kesedihan di hatinya.
“Ya, ya... uncle okey. Jangan bimbang uncle tak apa-apa.” Bibirnya melakarkan senyuman untuk membuang rasa bimbang anak saudaranya itu. “Jom kita masuk,” ajaknya.
Tengku Ritzlan mengangguk dan memimpin lelaki itu melangkah masuk ke banglo mewah Dato Johan. Matanya liar mencari Fendi. Teringin melihat lelaki itu sebelum bergelar tunangan orang. Tetapi yang ada hanyalah para tetamu yang terdiri daripada saudara mara sebelah Datin Fariza yang memang tidak dikenali. Mana saudara mara sebelah Dato Johan? Atau mereka sengaja tidak dijemput?
Tengku Manisah duduk bersama Tengku Yuhanis, isteri Dato Lokman. Datin Fariza pula sibuk melayan saudara maranya yang lain. Patutlah Tengku Manisah begitu keberatan hendak menghadiri majlis itu dan mujur juga ada Tengku Yuhanis untuk dibuat kawan.
Dia mengambil tempat di sisi Dato Lokman dan berhadapan dengan Tengku Ritzman yang begitu asyik berborak dengan Dato Johan. Dibiarkan ketiga-tiga lelaki itu berborak soal kerja yang tidak pernah sudah. Untuknya, sudah ditinggalkan di pejabat. Di situ tidak kuasa untuknya memeningkan kepala dengan kerja atau apa sahaja berkaitan tugasannya.
“Pukul berapa nak berangkatnya?” soal Tengku Manisah kepada Dato Johan. Dia sudah tidak sabar melihat situasi itu.
“Dalam pukul 11.00 pagi,” jelas Dato Johan dengan senyuman.
Tengku Ritzlan senyum melihat ibunya sudah mengomel di sisi Tengku Yuhanis. Panjang muncung wanita itu. Lama dia memerhati orang-orang yang sedang sibuk membuat hantaran untuk pihak perempuan.
Bagaimana perasaan Ain agaknya apabila mengetahui yang Fendi akan bertunang? Tahukah Ain yang Fendi akan bertunang hari itu? Tetapi benarkah Ain yang datang ke rumahnya beberapa minggu yang lalu adalah Ain kekasih Fendi?
Seketika dia melihat Fendi turun dari tingkat atas. Kemas mengenakan kemeja t berwarna biru berseluar jeans hitam. Tidak dinafikan Fendi seorang kacak dan mempunyai susuk tubuh yang tegap. Pasti menjadi kegilaan gadis-gadis ini pejabatnya. Tengoklah seperti Nelly tempoh hari. Entah apa yang Nelly buat sehingga Fendi sanggup memberi amaran kepada bakal tunangannya.
Kenapa itu yang difikirkan? Diraup wajahnya beberapa kali. Kenapa masalah orang yang difikirkan? Masalahnya pun banyak yang belum selesai.
“Ini bila lagi?”
Terkejut dia dengan soalan Dato Lokman. Dia menyambut tangan Fendi yang sudah berada di hadapannya. Seketika kemudian Fendi meninggalkan mereka di situ.
“Fendi!” jerit Datin Fariza.
Jeritan itu membuat ramai mata yang memandang kedua beranak itu di muka pintu. Keduanya seperti bergaduh dan sebentar kemudian Fendi meninggalkan Datin Fariza yang terus menjerit memanggil Fendi. Dato Johan sudah pun bangun meninggalkan mereka dan mendapatkan isterinya di luar.
“Ritz, bila lagi?’ soal Dato Lokman mengulangi soalannya tadi.
“Tak ada calon,” jawabnya mudah. Ya, dia belum menemui calon yang sesuai dengan dirinya. Dan yang penting wanita itu mestilah mahu menerima Tengku Ellyna. Itu yang penting.
“Masakan tak ada.” Dato Lokman menepuk mesra belakang Tengku Ritzlan dengan senyuman memandang ke wajah lelaki itu yang sudah memerah.
“Memilih sangat Fiz. Entah apa yang dicari pun kakak tak tahu,” celah Tengku Manisah yang sudah mengambil tempat di sisi Tengku Ritzman. Begitu juga dengan Tengku Yuhanis.
Dato Lokman ketawa. Tengku Ritzlan sekadar senyum mendengar kompelin dari Tengku Manisah.
“Adalah tu nanti kan,” getus Dato Lokman sambil menepuk paha Tengku Ritzlan dengan mesra.
SELEPAS menghantar kedua orang tuanya dia terus memandu pulang ke rumah. Badannya terasa agak penat dengan suasana majlis yang berlarutan sehingga ke pukul 4.00 petang.
Entah mengapa sungutan Datin Fariza tadi bermain di kepalanya. Nama Ain terbit di bibir wanita itu lagi. Adakah Ain yang sedang difikirkan dan disebut oleh Datin Fariza tadi adalah orang yang sama. Ramai yang bernama Ain di dalam Malaysia ni. Bukan Ain Najiha seorang. Hmm... Ain Najiha, hatinya menyebut nama itu.
“Mesti dia jumpa dengan si budak Ain tulah! Saya dah suruh Fendi ke sini datang jumpa bakal mertua dia dan Nelly.” keras suara Datin Fariza berkata kepada Dato Johan walaupun perlahan.
Dia tidak melihat Fendi di mana-mana. Atau memang lelaki itu tidak mahu hadir pada majlis pertunangannya sendiri? Wajah Nelly kelihatan tidak kucam walaupun senyuman cuba diberikan kepada tetamu yang hadir. Mungkinkah Fendi bertemu Ain? Balik-balik Ain yang menjadi sebutan hatinya. Mengapalah gadis itu boleh melekat dibenaknya?
“Biasa aje.” Dia mendengar bisikan ibunya dan Tengku Yuhanis. Bibirnya mengulum senyuman. Apa lagi yang tidak kena di mata ibu dan emak saudaranya. Kedua ibu dan emak saudaranya tidak habis-habis berbisik sesama sendiri.
Dia menghela nafasnya. Macam-macam keraneh manusia ni, desisnya. Tersenyum dia sebaik pintu otomatik terbuka. Kelihatan Tengku Ellyna sedang bermain bola dengan Pak Man di halaman bersama Pak Man dan Mak Gayah yang sedang duduk di anjung rumah. Mujurlah kedua pemandu dan pembantu rumahnya mahu menjaga puterinya dengan baik.
Masing-masing tidak membiarkan anak itu sendirian. Walaupun kedua mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik kerana masalah bahasa namun itu tidak menjejaskan hubungan antara Tengku Ellyna dan Pak Man suami isteri.
“Papa, mari main bola,” ajak Tengku Ellyna di dalam Bahasa Melayu.
Terpegun Tengku Ritzlan seketika memandang puteri dan pemandunya bermain bola di laman rumah yang agak luas. Perlahan-lahan dia menghampiri kedua mereka meninggalkan keretanya di tempat pakir biasa.
“Apa Lyna cakap tadi?” soal Tengku Ritzlan di dalam Bahasa Inggeris.
Tengku Ellyna tersengih comel sambil membetulkan tocangnya yang sudah agak berserabut. Peluh mereneh sekitar dahinya.
“Cakap dalam bahasa melayu tak boleh ke Ku? Sekurang-kurangnya dapat dia belajar,” komen Pak Man disusuli tawa kecilnya.
Eh, orang tua ni... suka hatilah aku nak cakap bahasa apa pun! desisnya sendiri.
“Papa,” panggil Tengku Ellyna sambil menghampiri Tengku Ritzlan yang sudah melangkah menuju ke anjung rumah.
“Hmm,” sahut Tengku Ritzlan. Matanya memandang mangkuk nasi goreng di atas meja. Nampak menyelerakan. Tiba-tiba sahaja perutnya lapar. Yalah, makan tengah hari lebih kurang pukul 1.00 petang . Dan kini sudah hampir pukul 6.00 petang sudah tentu perutnya minta diisi semula.
“Cakap dengan Lyna dalam Bahasa Melayu, boleh?” soal Tengku Ellyna di dalam Bahasa Inggeris memandang ke wajah papanya.
Tengku Ritzlan pula tersengih. Memeluk pinggang puterinya dengan penuh rasa sayang yang menggunung.
“Boleh?” soal Tengku Ellyna lagi.
“Boleh,” jawab Tengku Ritzlan kemudian beralih kepada nasi goreng yang berada di atas meja. “Nasi goreng,” tunjuk Tengku Ritzlan kepada mangkuk yang berisi nasi goreng.
“Ya, ini nasi goreng,” jawab Tengku Ellyna.
Mak Gayah ketawa melihat reaksi kedua beranak itu.
“Siapa masak ni? Mak Gayah?” soal Tengku Ritzlan memandang kepada Mak Gayah yang masih terpacak tidak jauh dari tempatnya duduk.
“Kami bawa Ellyna jalan-jalan tadi, kemudian singgah di gerai ni. Jadi saya belikan nasi goreng tu,” celah Pak Man sebaik menerima isyarat mata daripada isterinya.
“Ooo...” jawab Tengku Ritzlan dengan anggukannya. Disudu nasi itu dan disuapkan ke mulutnya. Hmm... boleh tahan. Matanya memandang kepada nasi dalam mangkuk itu, ada ayam yang dipotong kecil-kecil, jagung, lobak merah yang dipotong halus.
“Sedap Ku?” soal Pak Man yang sudah menghampiri Tengku Ritzlan. Matanya beralih kepada Tengku Ellyna yang memandang papanya memakan nasi gorengnya.
“Hmm... sedap. Mak Gayah, nanti buat nasi goreng macam ni,” pesan Tengku Ritzlan kembali memandang Mak Gayah.
Mak Gayah hanya senyum dan mengangguk tidak bersuara ya mahupun tidak.
“Papa, jangan habiskan nasi goreng Lyna.” Tengku Ellyna merampas mangkuk nasi goreng yang sedang enak dimakan oleh papanya.
Tengku Ritzlan sudah ketawa-ketawa. Dia benar-benar lapar ketika itu tetapi nasi gorang itu memang sedap dan kena dengan tekak.




3 berkata:
Nmpknya rizt mcm ada hati dgn ain hehe..
Kasihan fendi..terpksa mgikut kemahuan org tua.
Tapi lg best ain dgn ruzt hrhe..
Best cik writter..
hihihii...ain dh pikat anak, sekarang pikat bapak ngan perutnye dulu...
goodlah sis, ai likeee
tak sabar nk tunggu part tengku tu tahu ain yg ngajar ank dier
Post a Comment